Pengurus skuad kebangsaan Kemboja, Keisuke Honda menegaskan skuad bimbingannya memerlukan waktu yang cukup lama untuk mencapai tahap dua pasukan terbaik di Asia Tenggara ketika ini iaitu Thailand dan Vietnam.
Baca Juga:
- Piala AFF Mitsubishi Electric 2022: Elkan Baggott Bakal Perkuatkan Indonesia
- Nguyen Quang Hai Sah Tidak Sertai Piala AFF 2022
- Piala AFF Mitsubishi Electric 2022: Thailand Kehilangan Khidmat Chanathip Songkrasin
Menurut Honda, semua pihak perlu bersikap realistik dan bersabar kerana banyak aspek yang perlu diperbaiki sebelum muncul sebagai salah satu kuasa besar di rantai ini.
Honda menegaskan mustahil untuk Kemboja mencapai tahap dua pasukan tersebut dalam jangka tiga atau empat tahun yang akan datang.
“Itu mustahil. Secara realistiknya, kita tidak boleh melompat. Kita tidak boleh mengubah sesuatu secara drastik. Kita memerlukan sekurang-kurangnya 10 atau 20 tahun untuk mencapai tahap seperti mereka.
“Ia satu perancangan jangka panjang. Apa yang perlu kita lakukan terlebih dahulu ialah menerapkan budaya bola sepak di negara ini,” kata Keisuke Honda.
Tambah bekas pemain skuad kebangsaan Jepun itu, jika mahu menjadi kuasa besar maka Kemboja perlu melabur dalam bola sepak seperti yang dilakukan oleh negara jiran di Asean.
“Mereka adalah lawan kami di peringkat antarabangsa. Kita perlu tanya berapa banyak mereka melabur dalam bola sepak mereka. Negara seperti Thailand dan Vietnam telah melabur banyak dalam bola sepak.
“Jika mahu seperti mereka, negara ini perlu melabur lebih banyak dan melakukan perubahan dari semua sudut,” tambahnya.
Meskipun begitu, Honda berpendapat bola sepak Kemboja telah menunjukkan perkembangan yang positif sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Ada perubahan sedikit demi sedikit setiap tahun. Ini cabaran yang sangat sukar. Namun tiada yang mustahil, walaupun berdepan dengan kuasa besar di rantau ini.
Bagi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, Kemboja diundi dalam kumpulan A bersama juara bertahan Thailand, Indonesia, Filipina dan pemenang aksi play-off antara Timor Leste menentang Brunei.