Minggu lalu, FA Selangor telah mengumumkan bintang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin secara rasmi akan menyertai kelab divisyen 1 Belgium, KV Kortrijk.
Luqman dijangka akan terbang ke Belgium pada bulan Ogos ini untuk menyertai latihan bersama KV Kortrijk serta menyesuaikan diri dengan persekitaran baru disana.
Malah, kedutaan besar Malaysia di Belgium sudah bersedia untuk menyambut ketibaan Luqman dan memastikan segalanya berjalan lancar sehingga diperkenalkan secara rasmi bersama kelab tersebut.
Menurut pegawai kedutaan tersebut, Luqman akan dikuarantin selama 14 hari sebaik sahaja tiba di Belgium. Visa dan permit kerja pemain yang berusia 18 tahun itu turut disediakan.
“Pegawai kami sudah berhubung dengan wakil Luqman di Kuala Lumpur,” kata Ketua Usaha Sementara kedutaan besar Malaysia, Prisheela Prakas dipetik dalam New Straits Times.
@BelgiumMalaysia Looking forward to welcome 🇲🇾 @luqmansham10 asap & in best conditions possible in #Belgium 🇧🇪🥅⚽ Excellent collaboration between our two respective countries and embassies 👌🙏 @PhGoffin @HishammuddinH2O@BelgiumMFA @MalaysiaMFA@kvkofficieel @KvKortrijkFans https://t.co/IVGeDu094N
— Pascal H. Grégoire (@ph_gregoire) July 25, 2020
“Sudah menjadi tanggungjawab kami untuk membantu rakyat Malaysia dan memastikan mereka mengikut segala prosedur dan undang-undang Belgium.
“Dalam kes Luqman, kedutaan akan bekerjasama dengan KVK. Kami juga berhubung dengan wakil Belgium di Kuala Lumpur.
“Proses ini melibatkan jabatan imigresen di Belgium. Ada beberapa protokol yang perlu diikut. Segala komunikasi akan melibatkan pihak kelab dan pihak berkuasa Belgium,” katanya.
Menteri Kanan – Pertahanan dan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian memberitahu bahawa kelab KV Kortrijk telah dibenarkan untuk memohon ‘special permission’ untuk membolehkan Luqman Hakim terbang ke eropah.
“Jika Luqman harus terbang ke Belgium dalam memenuhi kontrak lima tahunnya (bersama KVK) atau jika sah Liga Belgium musim baharu akan bermula contohnya akhir Ogos atau September depan, pihak pemilik kelab (Vincent Tan) sendiri boleh memohon kepada KKM untuk mendapatkan pelepasan khas.
“KKM boleh memberi kebenaran dalam situasi Luqman ini tetapi dia harus melengkapkan semua dokumen dalam proses perpindahan dari Selangor ke Belgium itu. Insya-ALLAH tiada masalah buat Luqman untuk terbang (ke Belgium) nanti,” jelasnya.
Sementara itu, Prisheela juga teruja untuk menyambut ketibaan Luqman yang merupakan pemain pertama dari Malaysia beraksi dalam Liga Belgium. Beliau juga berharap lebih ramai lagi pemain tempatan dapat beraksi di sana.
“Ini adalah usaha terbaik untuk mengkomersialkan pemain negara kita di pentas antarabangsa.
“Kami sangat bangga dan gembira dapat membantu Luqman menjadi pemain Malaysia pertama di liga Belgium.
“Sempadan Belgium belum dibuka sepenuhnya. Namun, mereka membuat pengecualian tertentu untuk golongan diplomat. Kes Luqman juga dianggap istimewa,” katanya
Baca artikel lain mengenai perkembangan Luqman Hakim melalui pautan dibawah.
Luqman Dijangka Sertai Kem Latihan Pusat Skuad Malaysia B-19 Pada Bulan September
Media Belanda, 433 Senaraikan Luqman Hakim Dalam Pencalonan “Golden Boy” 2019/2020