Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam yakin bintang muda negara, Luqman Hakim akan mendapat perlepasan daripada kelab Belgium, KV Kortrijk bagi menyertai skuad Malaysia B-19 menghadapi Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan pada bulan Oktober 2020.
Luqman kini tiada dalam senarai 35 pemain awal yang dipanggil menjalani latihan sejak semalam kerana perlu menyelesaikan urusan perpindahannya ke KV Kortrijk.
Menurut Stuart, Luqman dijangka akan kembali menyertai kem latihan pusat fasa ketiga yang diadakan pada bulan September ini.
“Saya telah bercakap dengan ejen Luqman dan dia kata panggilan ke skuad kebangsaan akan menjadi keutamaan untuk Luqman.
“Persefahaman dan sentimen ada dan kami yakin akan dapat kembali Luqman. Kami mensasarkan Luqman untuk mengikuti latihan fasa ketiga skuad bawah 19 tahun kebangsaan,” kata Stuart dalam New Straits times
Dalam senarai 35 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat kali ini, 14 pemain adalah dari skuad 23 pemain ketika saingan kelayakan di Phnom Penh, tahun lalu manakala baki 21 pemain merupakan pemain yang pernah dipanggil pada kem latihan pusat pemilihan tahun lalu dan juga muka-muka baharu untuk dinilai oleh Maloney dan barisan kejurulatihannya.
Seorang lagi pemain iaitu Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal hanya akan menyusul kemudian untuk menyertai pasukan sejurus berakhir tempoh kuarantin selepas tiba di tanah air dari Amerika Syarikat.
“Sangat bagus dapat melihat mereka semua kembali.
“Berdasarkan pemahaman saya, Luqman akan berlepas ke Belgium dalam masa terdekat dan ini bagus untuk perkembangannya. Tetapi dari apa yang saya tahu, dia akan dilepaskan untuk kejohanan AFC B-19 dan melakukan persediaan terakhir,” kata ketua jurulatih, Brad Maloney.
Malaysia akan membuka tirai saingan Kumpulan D bertemu Tajikistan pada Jumaat, 16 Oktober 2020 diikuti aksi kedua menentang Qatar pada Isnin, 19 Oktober 2020 dan seterusnya aksi terakhir kumpulan berdepan Yemen pada Khamis, 22 Oktober 2020. Ketiga-tiga perlawanan dijadual berlangsung di Stadium AGMK, Olmalik.
Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Malaysia B-19 melalui pautan dibawah.
Skuad Malaysia B-19 Dapat Tawaran Sertai Kejohanan Jemputan Di Turki Dan Perancis
Gandingan Luqman Hakim Dan Jaami Qureshi Barisi Jentera Serangan Skuad B-19 Tahun Negara