Tugas sukar sedang menanti pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC) malam ini apabila mereka bakal menentang Sri Pahang tanpa kelibat dua tonggak import iaitu Rabih Ataya dan Kpah Sherman dalam saingan Liga Super.
Dua pemain itu telah mendapat panggilan ke skuad kebangsaan masing-masing bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 dan mereka dijangka terlepas aksi Liga Super dalam tempoh 2 minggu.
Pengendali KDA, Aidil Sharin Sahak mengakui ia adalah perlawanan yang cukup mencabar dan mereka menyasarkan sekurang-kurangnya satu mata.
“Perlawanan malam esok (hari ini) adalah paling mencabar kerana kita akan beraksi tanpa Sherman dan Ataya. Lagipun beraksi di tempat lawan bukanlah suatu yang mudah. Sasaran kita adalah mendapatkan satu mata, jika menang ia adalah bonus,” kata Aidil.
KDA ketika ini menghuni kedudukan kedua Liga Super dengan 38 mata serta hanya dipisahkan satu mata dengan dua pencabar terdekat, Terengganu FC dan Penang.
Bagaimanapun, Aidil tidak mahu pemainnya terlalu memikirkan tentang kedudukan liga sebaliknya memberi fokus pada perlawanan menentang Sri Pahang.
“Buat masa ini, saya nasihatkan para pemain agar tidak terlalu memikirkan kedudukan dalam carta liga kerana ia akan memberi tekanan kepada mereka. Apa yang penting ialah bermain secara normal dan kekalkan momentum kemenangan.
“Saya jangkakan pasukan Pahang akan mengasak habis-habisan untuk mencari gol awal kerana mereka memang perlukan kemenangan dalam misi kekal di Liga Super. Tetapi kita harus bersedia dengan apa jua taktikal yang pahang akan lakukan kerana separuh masa pertama akan paling susah buat Kedah,” tambah Aidil.
Selain Rabih Ataya dan Kpah Sherman, KDA juga difahamkan tidak dapat menggunakan khidmat penyerang dari Ivory Coast, Kipre Tchetche kerana mengalami kecederaan.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Merchandise Rasmi Harimau Malaya Kini Boleh Didapati Di Al-Ikhsan Sports
Kalah Besar Berdepan UiTM, Kurniawan ‘Direhatkan’ Berkuatkuasa Serta-Merta
Kisah Anwar Ridhwan, Dari Pemain Bola Sepak Kepada Jurutera Kanan Syarikat Gergasi Minyak Negara
MFL: Naib Juara Liga Super Dan Juara TM Piala Malaysia Akan Terima Slot Ke Kejohanan AFC Cup 2022