Meskipun tewas 2-3 kepada FELDA United dalam saingan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada malam tadi, skuad Helang Merah tetap menempah tiket beraksi di perlawanan akhir menentang Perak.

Mereka layak menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan ketika separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman pada 22 Jun lepas hasil sepakan penalti daripada Fernando Rodriguez pada minit ke 69.

Namun, dalam perlawanan malam tadi, Rodriguez sekali lagi meletakkan pasukan pelawat di depan apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke 26 sekaligus membangkitkan semangat skuad kendalian Aidil Sharin Sahak untuk terus memburu jaringan kedua.

10 minit kemudian, pemain sayap lincah Kedah, Farhan Roslan melakukan rembatan dari sebelah kiri untuk menghasilkan gol kedua untuk skuad Helang Merah. Keputusan kekal dengan aggregat 3-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, FELDA United mula memperkemaskan corak permainan mereka dan kerap kali menguji benteng pertahanan pasukan pelawat. Usaha mereka melancarkan serangan bertubi-tubi akhirnya membuahkan hasil apabila Thiago Junior berjaya mengurangkan defisit keputusan pada minit ke 65.

Skuad kendalian Nidzam Jamil tampak tidak mahu berputus asa dan berjaya mendapatkan jaringan penyamaan daripada S. Chanturu pada minit ke 72 sekaligus menjadikan kedudukan aggregat berubah kepada 2-3.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Kedah cuba bangkit tetapi jentera serangan dan tengah mereka jelas keletihan sehingga gagal mempamerkan corak permainan seperti yang diharapkan. Kapten FELDA United, Hadin Azman kemudian mengambil kesempatan untuk menjaringkan gol ketiga melalui sudut sukar pada minit akhir perlawanan.

Walaupun tidak berjaya melangkah ke perlawanan akhir, semangat juang yang tinggi dan sikap tidak mudah berputus asa seperti dipamerkan oleh anak buah Nidzam Jamil mendapat pujian daripada peminat bola sepak tempatan.