Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain tanpa berselindung memuji barisan pemain muda yang mempamerkan karakter hebat dalam membantu skuad bimbingannya menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) 2-1 di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Ketinggalan pada minit ke-39 menerusi jaringan sendiri pemain pertahanan, Muhammad Mohd Faudzi, TFC kembali bangkit dengan jaringan penyamaan menerusi sepakan penalti David Da Silva pada masa kecederaan babak pertama.
Azam Azmi Murad muncul wira apabila percubaannya setelah menerima lorongan baik daripada Mohamad Faisal Abdul Halim berjaya menghadiahkan tiga mata penuh sekali gus menamatkan kemarau kemenangan TFC.
Sehubungan dengan apa yang telah ditampilkan anak buahnya terutamanya buat pemain muda, Nafuzi jelas berpuas hati segala perancangan TFC bagi menghadapi KDA berjalan dengan lancar.
“Kita tahu datang ke Kedah bukannya senang untuk catat kemenangan, lagipun kita tengok momentum Kedah mencatatkan kemenangan berturut-turut manakala selepas empat perlawanan kita banyak keciciran mata,” ujar Nafuzi dalam sidang media selepas perlawanan.
“Jadi, memang kita kesini untuk mendapatkan tiga mata. Kita percaya apa yang kita lakukan, persediaan untuk bertemu Kedah, jadi apa yang kita rancangkan pada malam ini pemain dapat terjemahkan di atas padang.”
“Saya bersyukur dengan tiga mata yang memang kita tunggu setelah empat perlawanan untuk mendapatkan mata penuh dan perkara itu sangat bermakna apabila [menang] kita bertemu dengan Kedah dan pertama kali adanya kehadiran penyokong.”
“Dari segi permainan juga berbeza dengan tempo perlawanan juga begitu rancak, apa-apa pun saya ucapkan tahniah kepada pemain saya.”
“Kalau kita tengok majoriti Terengganu semuanya pemain muda tetapi karakter, sikap dan usaha ditunjukkan dalam padang kita rasa dengan umur sebegitu memang bagus untuk Terengganu dan bola sepak Malaysia terutamanya dari segi keyakinan diri apabila bermain menentang pasukan yang baik.”
“Tekanan yang tinggi dalam kita memerlukan mata penuh tetapi pemain hanya bermain dengan yakin dan kita dapat menyaingi. Saya lebih daripada berpuas hati malam ini,” tambah Nafuzi Zain lagi.
Teruskan membaca 3 artikel berkaitan bola sepak tempatan yang telah disediakan seperti dibawah.
Khalid Ali: Selangor Patutnya Hampir Dengan JDT, Bukan Tangga Ketujuh
Licin! Tiket Perlawanan Penang Menentang Sabah Sudah Habis Dijual