Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memberi amaran kepada mana-mana individu yang didapati membuat ‘live streaming’ secara haram melibatkan aksi skuad The Red Warriors (TRW) menerusi platform media sosial sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Menurut Setiausaha Agungnya, Husin Deraman, para penyokong tidak dibenarkan menyiarkan perlawanan itu kerana ia telah melanggar hak penyiaran dan peraturan yang ditetapkan oleh badan pengendali liga, Malaysia Football League (MFL).
“Hak penyiaran bagi Liga Malaysia 2020 di bawah kendalian Unifi. Tiada pihak lain dibenarkan untuk membuat ‘live streaming’ kecuali pihak produksi yang dilantik Unifi.
“KAFA bimbang sekiranya ada penyokong ‘nakal’ yang berbuat demikian boleh menyebabkan badan induk itu berdepan hukuman daripada MFL,” katanya dalam satu kenyataan di laman facebook Kelantan FA.
Husin berkata, KAFA sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati bersalah melanggar peraturan tersebut. Katanya, badan induk itu berharap para penyokong dapat menghormati peraturan yang telah ditetapkan oleh MFL.
“Sebagai langkah awal, kita akan menjalinkan kerjasama dengan pasukan keselamatan Stadium Sultan Muhammad IV untuk memantau perkara tersebut
“Bukan sahaja aksi di Stadium Sultan Muhammad IV peraturan ini turut dipakai seluruh stadium setiap kali melibatkan saingan bawah kelolaan MFL,” ujarnya.
Skuad kendalian Yusri Che Lah itu dijadualkan menentang UKM FC di Stadium Selayang pada petang ini.
Lagi artikel menarik mengenai perkembangan pasukan Kelantan melalui pautan dibawah.
Kelantan Diarah Bayar Tunggakan Gaji Berjumlah RM178,470 Kepada Bekas Pemain Dan Pegawai