Jurulatih dan pemain meluahkan rasa sedih terhadap pembatalan TM Piala Malaysia 2020 namun akur dengan keputusan Malaysian Football League (MFL) sejajar dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang telah menolak rayuan bagi meneruskan kejohanan itu pada Rabu.
Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, mengakui sedikit terkejut dengan keputusan itu tetapi dalam masa sama memahami kepentingan kesihatan awam perlu diutamakan dalam memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dihentikan.
“Seingat saya Piala Malaysia kali terakhir dihentikan pada 1947 dulu dan apabila dibatalkan pada tahun ini, rasanya memang sukar dipercayai serta diterima oleh semua warga bola sepak.
“Begitu juga dengan Perak, bukan mudah untuk melupakan Piala Malaysia pada musim ini selepas kami telah berjaya layak ke suku akhir tetapi kita semua perlu menerima keputusan tersebut.
“Apa pun kesihatan pemain serta pegawai perlu diutamakan dahulu dan kerajaan lebih tahu apa yang terjadi sebenarnya sehingga membuat keputusan ini,maka kita semua perlu sama-sama patuh dan ikuti arahan dikeluarkan, ”katanya.
Sementara itu, pemain import Terengganu, Lee Tuck, juga berkongsi perasaan sedihnya yang mengakui sudah meletakkan matlamat mahu mendapatkan satu trofi buat pasukannya pada musim ini.
Bagaimanapun, perkhabaran slot ke Piala AFC 2021 buat Terengganu FC sedikit sebanyak memberikan penawar buat Lee Tuck selepas tiga musim bersama skuad dari Pantai Timur itu di Liga Malaysia.
“Sebagai pemain, sudah tentu terkilan kerana kami telah melakukan persiapan yang cukup rapi tambahan saya rasa musim ini Terengganu FC mempunyai peluang untuk memenangi trofi Piala Malaysia.
“Saya yakin bukan sahaja pemain tetapi pengawai, peminat dan penaja juga berasa sedih dengan pembatalan Piala Malaysia kerana tidak menjangka situasi ini berlaku tetapi kita semua tiada pilihan untuk menerima keputusan dikeluarkan.
“Mengenai aksi di Piala AFC pada musim depan, saya memang berbangga kerana setelah lama bersama dengan pasukan, perkara ini menunjukkan perkembangan yang semakin meningkat buat Terengganu.
“Diharapkan kontrak saya bersama pasukan dapat disambung dan bersama pemain lain, kami harap dapat tunjukkan kemampuan Terengganu di pentas lebih tinggi, ” katanya.
Malaysian Football League (MFL) telah mencapai kata sepakat untuk mengumumkan pembatalan kejohanan TM Piala Malaysia 2020 berkuatkuasa hari ini.
melalui satu mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas rayuan untuk meneruskan kejohanan itu telah ditolak oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, MFL harus akur dengan keputusan terbaharu daripada MKN di mana pihak kerajaan tidak membenarkan kejohanan TM Piala Malaysia 2020 berlangsung sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan yang dilanjutkan sehingga 6 Disember ini.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Piala Malaysia di sini:
Ismail Sabri Jelaskan Sebab Kenapa Hiburan Dibenarkan Tetapi Piala Malaysia Tak Boleh
RASMI: MFL Umum TM Piala Malaysia 2020 Dibatalkan, Terengganu Sah Raih Slot AFC Cup 2021
Ismail Sabri Jelaskan Sebab Kenapa Hiburan Dibenarkan Tetapi Piala Malaysia Tak Boleh