Petang tadi, Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) kekal dengan keputusan penangguhan kejohanan TM Piala Malaysia 2020 atas faktor kesihatan dan keselamatan rakyat susulan penularan wabak COVID-19.

Penangguhan pertandingan itu turut mengundang pelbagai reaksi negatif dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Malah, terdapat juga peminat membandingkan dengan rancangan hiburan yang dibenarkan berlangsung walaupun pertandingan bola sepak sentiasa mematuhi SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ditetapkan oleh MKN.

“Ada orang membandingkan dengan hiburan, hiburan kita boleh diperketatkan SOP misalnya penyanyi boleh memakai ‘face shield’ dan sebagainya.

“Saya dimaklumkan oleh Yang Berhormat Menteri KKMM (Komunikasi), kadang-kadang kita nampak di atas ‘stage’ yang ramai-ramai tersebut,  sebenarnya yang menari dalam masa yang berbeza-beza di tempat berbeza tetapi dari segi teknologi moden, gambar itu disatukan seolah-olah nampak pertarian itu bersama. Itu yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat Menteri KKMM.

“Itu dari segi SOP lebih mudah kerana tiada penonton, semua yang terlibat pakai ‘face shield’ atau ‘mask’ tetapi tidak mungkin pelitup muka dipakai oleh pemain bola sebagai contoh. Itu satu.

EmiBVLpUcAAuUzS

“Di atas padang dia tidak bermain setakat jumlah pemain itu sahaja yang berada di padang tetapi krew dia, petugas teknikal yang lain, semua, ramai yang berada bersama mereka, mereka balik dalam satu bas yang sama.

“Pergi dalam satu bas yang sama, mengadakan latihan dan didalam bilik persalinan juga. Agak sukar untuk mengawal SOP dalam bilik persalinan kerana tidak ada sesiapa dalam bilik persalinan untuk mengawal pergerakan dan segalanya.

“Jadi, kesan kita fikir agak besar pada kesihatan dan tanggungjawab kerajaan untuk jaga kesihatan rakyat. Maka, sekali lagi mesyuarat membuat keputusan untuk tidak membenarkan pertandingan ini [Piala Malaysia] diteruskan dan ditangguhkan,” jelas Ismail Sabri dalam sidang media petang tadi.

Ismail turut meminta maaf kepada para peminat bola sepak tanah air dan menjelaskan keputusan itu terpaksa dibuat bagi mengelakkan peningkatan kes COVID-19 di negara.

“Saya minta maaf kepada peminat-peminat bola sepak yang begitu ramai di seluruh negara, bukan kita sengaja untuk membatalkan tetapi atas nasihat Kementerian Kesihatan, menjaminkan kesihatan adalah lebih utama, jadi kita terpaksa tidak membenarkan [Piala Malaysia berlangsung]”, tambahnya.

Baca artikel lain mengenai isu Piala Malaysia 2020 melalui pautan dibawah. 

TM Piala Malaysia 2020 Perlu Tangguh Atau Batal Sebenarnya? Slot AFC Cup 2021 Milik Terengganu?

MFL Buat Rayuan Kepada MKN Teruskan Piala Malaysia Dengan Perancangan Khas Dan SOP Ketat

Faktor Utama Mengapa Saingan Piala Malaysia Musim Ini Wajar Diteruskan