Ketua jurulatih skuad kebangsaan Korea Selatan, Jurgen Klinsmann membalas kritikan yang dilontarkan terhadapnya sejak menjadi pengurus pasukan itu.

Baca Juga:

Baru-baru ini, Klinsmann menerima kritikan hebat selepas Korea hanya mampu seri 0-0 ketika berdepan Wales dalam aksi persahabatan sekaligus masih belum mengutip sebarang kemenangan sejak berada di bawah bimbingan jurulatih dari Jerman itu.

Dalam satu temu bual baru-baru ini, Klinsmann menegaskan beliau mempunyai cara tersendiri dan sekiranya tidak suka dengan kaedah yang beliau gunakan, maka FA Korea boleh mencari jurulatih lain.

“Kalau saya selalu tinggal di Korea, perkara itu tidak efisien kerana tiada apa yang boleh dilakukan di Seoul. Lebih baik bertemu orang-orang tertentu di Eropah. Itu caranya untuk meningkatkan bola sepak Korea.

“Kalau anda tidak suka dengan cara yang saya gunakan, silakan cari pengurus lain. Saya tak kisah.

“Saya kuat bekerja, sama seperti orang Korea. Dimana saja saya bekerja, itu semua untuk bola sepak negara ini. Saya boleh katakan saya memberikan sepenuh fokus untuk Piala Asia. Di sini saya nak tegaskan, kalau nak berjaya, maka saya harus pastikan cara yang betul untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” kata Jurgen Klinsmann.

Kapten Korea, Son Heung-min tampil mempertahankan pengurus tersebut dimana beliau faham mengenai kekecewaan peminat yang mahu pasukan kebangsaan untuk meraih kemenangan.

“Saya faham dari mana penyokong datang, saya juga bersama skuad kebangsaan sekian lama. Saya tak kata jurulatih sentiasa betul tetapi saya juga tidak fikir penyokong juga selalu betul,” kata Son.

Korea Selatan akan turun berdepan Arab Saudi dalam aksi persahabatan di St James’ Park awal pagi Rabu dan ini merupakan peluang keemasan untuk pasukan itu meraih kemenangan pertama sejak dibimbing Klinsmann.