Pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar tidak menyangka dia mampu beraksi di tahap tertinggi seperti hari ini selepas membuat keputusan memilih untuk beralih fokus dari sukan ping pong ke bola sepak pada usia 17 tahun.
Malah, dia hanya memilih bermain di liga sosial sahaja bagi mengembangkan bakatnya sebelum bakatnya dapat dikesan oleh pihak pengurusan Selangor untuk dilamar beraksi dengan skuad Piala Belia pada tahun 2018.
Segala-galanya berlalu pantas buat Sharul dengan semakin menyerlah apabila mewarnai Selangor 2 pada musim lalu sebelum akhirnya diberi kepercayaan diletakkan selaku pertahanan tengah utama pada saingan Liga Super 2021.
“Dahulu masa sekolah, ada main bola tetapi tidak berapa minat sangat selain faktor ibu juga yang hanya membenarkan saya terbabit dengan sukan ‘indoor’ dan sebab itu saya memilih ping pong, dari sekolah rendah sampai Tingkatan 5.
“Saya pernah menjalani pemilihan ke MSSM (Majlis Sukan Sekolah Malaysia) bagi mewakili Selangor semasa di darjah 6 dan pada masa itu, saya seorang sahaja berbangsa Melayu manakala yang lain dari bangsa Cina namun tidak terpilih.
“Minat ini diteruskan sehingga Tingkatan 5 di sekolah menengah, sebelum satu hari saya buat keputusan untuk mencuba nasib bermain bola sepak dengan memberitahu kakak dan Cheras (Prefer FC) yang bermain di Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) merupakan pasukan pertama yang saya beraksi.
“Dari situ, perlahan-lahan saya mencari pengalaman lain dengan bermain bersama Marcerra United di Liga Kuala Lumpur dan kelab NPNG, di Liga Selangor, pada tahun yang sama.
“Tahun depan akhirnya saya mendapat tawaran dari Selangor dan perasaannya pada masa itu tidak dapat digambarkan kerana terlalu gembira, bayangkan daripada liga sosial sahaja, saya dapat mewakili pasukan negeri dan rezeki memang tidak pernah salah alamat,” katanya kepada MFL.
Antara pencapaian tertinggi Sharul sepanjang bermain ping pong ialah muncul Naib Johan di peringkat negeri dalam kejohanan Majlis Sukan Selangor (MSSS) pada tahun 2015.
Pertahanan @SelangorFC, Sharul Nazeem Zulpakar tidak menyangka dia mampu beraksi di tahap tertinggi seperti hari ini selepas membuat keputusan memilih untuk beralih fokus dari ping pong ke bola sepak pada usia 17 tahun.
Artikel penuh ⤵#LigaSuper2021
— Malaysian Football League (@MFL_MY) June 16, 2021
Sharul Nazeem yang berusia 22 tahun mula diberi kepercayaan apabila pemain dari Jerman, Tim Heubach mengalami kecederaan pada perlawanan ketujuh Liga Super ketika berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan mula diturunkan dalam enam perlawanan setakat ini bagi mengemudi barisan pertahanan.
Dia sebelum ini merupakan ketua pasukan di Selangor 2 dan bermain dalam semua perlawanan di Liga Premier dengan rekod 985 minit permainan.
Jelas pemain yang meminati dua pemain antarabangsa Brazil, David Luiz dan Marcelo, dia gembira peluang diberikan oleh Selangor yang memberikan kepercayaan kepada ramai pemain muda.
Selain dirinya, Selangor turut memberikan peluang kepada pemain seperti Aliff Haiqal, Danial Asri dan Zikri Khalili beraksi dalam kesebelasan utama pada kebanyakan perlawanan musim ini.
“Harapan untuk jangka masa panjang sudah tentu mahu membawa Selangor bermain di peringkat tertinggi seperti ACL (Liga Juara-juara Asia) dan Piala AFC dan sudah tentu kita kena bekerja lebih keras pada tahun mendatang.
“Peluang yang diberikan Selangor untuk saya dan rakan-rakan tunjukkan bakat tidak akan disia-siakan dengan cuba memberikan prestasi baik dalam tiap perlawanan,” katanya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Shahrom Kalam Imbas Kembali Kehebatan Hazwan Bakri Ketika Bersama Selangor
Penyokong Setuju Cadangan Wajibkan Pengambilan Vaksin Sebagai Syarat Utama Masuk Ke Stadium