Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kini mengintai peluang untuk memburu trofi kedua setelah menutup tirai Liga Super dengan kejuaraan kali kelapan berturut-turut musim ini.

Kejayaan mencatat 18 kemenangan dalam 21 perlawanan Liga Super yang diharungi meletakkan JDT sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Malaysia 2021.

Pengendali Harimau Selatan, Benjamin Mora bagaimanapun tidak memandang mudah pada cabaran pasukan lain dan mereka akan melakukan persiapan terbaik untuk memastikan para pemainnya cukup bersedia dalam setiap perlawanan.

“Kami akan lihat bagaimana cara untuk beraksi dalam kempen Piala Malaysia kerana di JDT kita ada objektif dan objektif pertama untuk menang dalam setiap perlawanan yang diharungi.

“Objektif seterusnya adalah mencabar diri masing-masing untuk memenangi satu lagi piala.

“Inilah cara kami lakukan dan ini juga cara kami melaksanakan dengan latihan yang tersusun bagi membentuk persefahaman taktikal tatkala beraksi di padang kerana semuanya berhubung kait untuk mencapai kejayaan.

“Apapun, kami akan beri yang terbaik dalam saingan Piala Malaysia dan kami harus bersedia kerana pasukan lawan sudah pasti mahu menewaskan kami dalam setiap perlawanan,” kata Benjamin Mora dipetik dalam Berita Harian. 

Saingan Piala Malaysia musim lalu dibatalkan susulan peningkatan kes wabak pandemik COVID-19 dan edisi tahun ini dijangka berlangsung dengan lebih sengit kerana ia turut menawarkan satu slot ke Piala AFC 2022.

Format pertandingan Piala Malaysia musim ini dijangka kekal seperti musim lalu di mana tiada saingan peringkat kumpulan dan saingan 16 pasukan akan berentap secara kalah mati satu pusingan termasuk suku akhir dan separuh akhir.

11 pasukan terbaik Liga Super dan 5 pasukan terbaik Liga Premier (kecuali pasukan Feeder Team) yang layak beraksi dalam saingan Piala Malaysia akan diundi untuk menentukan perlawanan awal dan juga pasukan tuan rumah.

Jika JDT dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia musim ini, slot ke Piala AFC 2022 akan diberikan kepada pasukan Penang yang menghuni kedudukan ketiga Liga Super. Satu lagi slot Piala AFC diberikan kepada pasukan Kedah Darul Aman (KDA) selaku naib juara Liga Super 2021.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Baddrol Bakhtiar Muncul Sebagai Penjaring Terbanyak Pemain Tempatan Liga Super 2021

Kisah Kehebatan JDT Bakal Disiarkan Di Saluran Discovery, Inc.

Isu Pertukaran Pemain: Empat Pegawai Perlawanan Digantung Tugas Selama Tiga Bulan

Liga Super: Ifedayo Olesegun Pecahkan Rekod Mohamad Ghaddar