Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin mendedahkan senarai pendek calon bagi mengisi jawatan ketua jurulatih baharu skuad futsal negara berasal dari negara yang merupakan gergasi dalam sukan lima sebelah tersebut.

Selepas aksi hambar ditampilkan skuad negara dalam tiga kejohanan terakhir menyaksikan FAM memilih untuk menagih khidmat pengendali dari luar negara apabila sebelum ini menyandarkan harapan kepada tenaga tempatan, Chiew Chun Yong sejak 2016.

Berikutan kekurangan pertandingan yang dihadapi, ketua jurulatih yang dipilih nanti diberikan tugasan tambahan terutamanya dalam usaha untuk meningkatkan perbangunan futsal tanah air.

Hakikat itu perlu ditelan kerana sebelum ini tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang usaha untuk memperkasakan futsal Malaysia terutamanya di peringkat akar umbi dan remaja.

“Saya telah menyatakan pada tahun lepas bahawa saya bersama Pengarah Teknikal dan jawatankuasa di bawah Datuk Rosmadi Ismail telah menemuduga dan menilai beberapa jurulatih dari Thailand, Iran, Sepanyol dan Portugal.”

“Kita sedang menyenarai pendek calon ini untuk menjadikan sebagai ketua jurulatih baharu bagi skuad futsal,” ujar Hamidin bercakap kepada wakil Vocket FC.

Jurulatih yang dipilih nanti itu juga akan menjaga pembangunan akar umbi sepertimana dilakukan oleh Soleen Al Zoubi [ketua jurulatih skuad wanita negara].”

“Pada Sukan SEA 2023 nanti tiada sukan futsal dipertandingkan tetapi kita ada kejohanan AFF. Jadi, InsyaAllah dalam masa sebulan dua kalau kita dah muktamadkan semuanya, yang mana dipilih oleh Pengarah Teknikal kita akan umumkan nanti.”

“Ada seorang calon yang pernah bermain di Piala Dunia, Asia dan mereka semua ini merupakan jurulatih yang berkelayakan untuk menjadi ketua jurulatih.”

“Perlu diingat futsal dan bola sepak wanita kejohanannya sedikit tidak seperti bola sepak, jadi amat merugikan mengambil ketua jurulatih tanpa mempelbagaikan tugasan mereka.”

“Dia akan memerhatikan liga kita dan membentuk pasukan remaja dan juga mencungkil bakat-bakat daripada liga serta pergi ke seluruh negeri bagi melihat pemain-pemain yang boleh kita serapkan ke skuad remaja dan utama,” tambah Datuk Hamidin lagi.