Iran membuktikan kemampuan selaku antara pasukan disegani apabila dengan penuh bergaya menundukkan Jepun 4-1 sekali gus berjaya menjulang Kejohanan Futsal NSDF (Tabung Pembangunan Sukan Negara Thailand) 2023 yang berlangsung di Pattaya, Thailand malam tadi.

Baca Juga:

Walaupun ia sekadar berstatus kejohanan jemputan, kemenangan diraih anak buah Vahid Shamsaei itu sedikit mengubat kekecewaan mereka yang tewas kepada lawan sama pada aksi final Piala Futsal Asia di Kuwait, tahun lalu.

Langkah Vahid dalam membentuk kombinasi pemain berpengalaman yang beraksi di Sepanyol seperti Hossein Tayebi, Saied Ahmad Abbasi dan Moslem Oladgobad bersama beberapa muka baharu dilihat membuahkan hasil buat Iran.

Skuad ranking ketujuh dunia itu bagaimanapun tersentak pada minit keenam selepas Tsutsumi Yuta melakukan serangan balas pantas yang kemudiannya melakukan percubaan bagi menewaskan penjaga gol Iran, Saeed Momeni.

Jaringan penyamaan dinantikan Iran hadir pada minit ke-32 apabila rembatan padu Salar Aghapour yang singgah di palang gol lalu terkena Nakamura Mitsuru lalu bola masuk ke gawangnya sendiri.

Gol itu nyata menyemarakkan lagi semangat para pemain Iran dan hanya seminit kemudian, Hossein Tayebi menambah jaringan kedua menerusi rembatan jarak dekat yang menewaskan penjaga gol Jepun, Guilherme Kurumoto.

Saied Ahmad Abbasi mematikan api perjuangan pasukan lawan tersebut hasil jaringan pada minit ke-36 dan 40 untuk memastikan gelaran juara menjadi milik Iran.

Sementara itu pada aksi penentuan tempat ketiga yang berlangsung lebih awal, Thailand berjaya menundukkan Arab Saudi 2-0 hasil jaringan Peerapat Kaewwilai dan Sarawut Phalapruek.