Pertembungan dua pasukan teratas Liga Premier di antara Sarawak United menentang Negeri Sembilan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam telah mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan.
Lebih perit, hasrat skuad kendalian E. Elavarasan untuk dinobatkan sebagai Juara Liga Premier 2021 telah disekat apabila mereka tewas 0-1 kepada pelawat hasil tandukan Francis Kone di minit akhir perlawanan.
Keputusan tersebut menyaksikan Negeri Sembilan berjaya memintas Sarawak United untuk menghuni kedudukan teratas Liga Premier dan kedua-dua pasukan hanya dipisahkan dengan satu mata.
Ia bermakna Juara Liga Premier bakal ditentukan pada perlawanan terakhir yang berlangsung pada 21 September ini.
📊 KEDUDUKAN LIGA PREMIER – LP21#LigaPremier2021 pic.twitter.com/Rc9RNEDLKp
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 10, 2021
Bagaimanapun, perlawanan tersebut tidak berakhir dengan aman apabila terdapat insiden pergaduhan di dalam padang selepas wisel penamat dibunyikan melibatkan pengadil utama, Mohamad Kamil Zakaria dengan pemain dan pegawai pasukan Sarawak United.
Insiden itu dipercayai tercetus apabila pemain pertahanan Sarawak United tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan dan mendakwa dirinya telah disiku oleh Francis Kone ketika jaringan kemenangan pada minit akhir perlawanan.
Malah, jurulatih Sarawak United, E. Elavarasan sempat mendedahkan kecederaan yang dialami oleh pemainnya akibat dikasari oleh penyerang import itu ketika sidang media.
Punca pengadil diserang. Sarawak United mendakwa pemainnya disiku penyerang Negeri Sembilan Francis Kone ketika melakukan jaringan kemenangan di lewat permainan. https://t.co/FMchSMyNLL pic.twitter.com/JpZ0UKDHPe
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) September 10, 2021
Sebelum itu, terdapat satu lagi insiden panas pada minit ke 65 apabila penjaga gol Sarawak United, Sharbinee Allawee diperintah keluar padang ekoran kekasaran yang dilakukan dalam kawasan kotak penalti.
Berdasarkan rakaman video, Sharbinee didapati telah menerjah dada pemain Negeri Sembilan, Mohamad Zamri Ramli ketika sedang melompat untuk menangkap bola di udara.
Sharbinee terajang Mortal Kombat. Gila, fatality!! pic.twitter.com/j5oBZ4jo7X
— ⚓SyazwanSeaMasterSam🇲🇾 (@SSSKaptenPisang) September 10, 2021
Kekasaran yang dilakukan oleh penjaga gol berpengalaman itu menyaksikan Negeri Sembilan dihadiahkan sepakan penalti namun gagal disempurnakan oleh Francis Kone apabila rembatanya melambung tinggi melepasi palang gol.
Francis Kone juga dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua pada minit akhir perlawanan kerana membuka baju ketika meraikan gol kemenangan sekaligus terlepas aksi terakhir Liga Premier menentang PDRM.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Kisah Kehebatan JDT Bakal Disiarkan Di Saluran Discovery, Inc.
Isu Pertukaran Pemain: Empat Pegawai Perlawanan Digantung Tugas Selama Tiga Bulan
Tomas Trucha: Peluang Penang Untuk Jadi Naib Juara Liga Super 50-50