Ketua jurulatih pasukan Kelantan, Yusri Che Lah menegaskan saingan musim 2020 bakal menjadi musim terakhir beliau bersama skuad The Red Warriors.
Menurut Yusri, beliau mahu membantu Kelantan kekal di saingan Liga Perdana sebagai hadiah terakhir sebelum mengundurkan diri sebagai pengendali pasukan.
“Saya sudah tiga musim bersama Kelantan dan saya boleh katakan mungkin musim ini adalah musim terakhir saya.
“Saya akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk meletakkan pasukan ini dalam kelompok 10 terbaik.
“Dalam masa sama, saya cuba juga untuk menempatkannya dalam Piala Malaysia kerana ini adalah masa terbaik untuk pemain menonjolkan kemampuan mereka dan saya juga mendapat kebaikan daripada apa yang telah kami capai.
“Ia satu keadaan yang agak sukar kerana walaupun kami masih menduduki tangga kesepuluh dengan satu mata, saya melihat kepada perlawanan yang akan datang dan keadaan semasa.
“Tetapi saya masih realistik untuk mencuba menempatkan diri dalam kelompok itu supaya apabila saya meninggalkan pasukan ini pada penghujung Disember ini, Kelantan tidak terjerumus ke Liga-M3.
“Saya berharap usaha saya ini dapat diterjemahkan oleh pemain agar sesuatu yang indah dapat ditinggalkan dan nama kami tidak diburukkan secara berterusan,” katanya menurut laporan Stadium Astro.
Baru-baru ini Kelantan dikenakan hukuman pemotongan tiga mata oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setelah gagal menyelesaikan tunggakan gaji menurut tempoh masa yang diberikan.
Baca artikel lain mengenai pasukan Kelantan di sini:
Bapa Wan Kuzain Luah Hasrat Mahu Beli Pasukan Kelantan, Ini Sebab Mengapa Beliau Berminat.
Kelantan Dipotong 3 Mata, Berdepan Risiko Tidak Diberikan Lesen Kelab Musim 2021