Bekas jurulatih skuad badminton negara, Indra Wijaya dilaporkan kembali ke pangkuan negara kelahirannya, Indonesia untuk membimbing sektor perseorangan wanita bermula hari ini.

Baca Juga:

Perkembangan terkini itu disahkan laman sesawang rasmi Persatuan Badminton Seluruh Indonesia (PBSI) yang menyaksikan Indra bakal dibantu oleh Herli Djaenudin.

Indra hadir ke Pusat Latihan Nasional (Pelatnas) Cipayung, Jakarta Timubagi mengantikan kekosongan ditinggalkan oleh Rionny Mainaky yang merupakan abang kepada Rexy Mainaky sejak awal tahun ini.

Mengulas mengenai kembalinya ke Pelatnas Cipayung buat pertama kali sebagai jurulatih, Indra Wijaya menganggap ia seperti mimpi menjadi kenyataan buatnya.

“Secara peribadinya saya mengucapkan terima kasih buat PBSI, kerana mempercayai saya untuk menjadi ketua jurulatih sektor perseorangan wanita.”

“Ia merupakan satu kebanggaan buat saya kerana dapat memberikan sumbangan buat badminton Indonesia. Dapat bersama dengan pelatnas juga menjadi mimpi buat saya selama ini.”

“Saya berfikir saya boleh mencurahkan ilmu kepada orang luar tetapi mengapa tidak untuk memberikannya kepada negara saya sendiri. Sekiranya ditanya mengenai pengalaman di Cipayung, pastinya begitu banyak. Saya menjadi atlet pertama sejak pelatnas ini dibuka pada tahun 1992 hingga 2000,” ujar Indra.

Selepas meninggalkan Korea Selatan pada penghujung tahun 2015, Indra menjadikan Malaysia sebagai destinasi baharu dengan menggalas tugasan jurulatih perseorangan lelaki dan kemudiannya beralih kepada perseorangan wanita pada tahun 2020.

Beliau kemudiannya mengucapkan selamat tinggal kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bersama dengan Lee Zii Jia yang membentuk pasukannya sendiri.

Tetapi jodoh beliau dengan pemain perseorangan utama negara itu hanya mampu bertahan tidak sampai setahun apabila kontraknya ditamatkan oleh Lee Zii Jia pada November tahun lalu.