Indonesia sah menarik diri dari cubaan untuk membida temasya Piala Dunia 2034 setelah memberikan sokongan kepada negara pertama yang menghantar bidaan iaitu Arab Saudi.

Indonesia menerusi badan bola sepak negara itu, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menyatakan sokongan mereka kepada Arab Saudi setelah Ketua Umum PSSI, Erick Thohir mengadakan perbincangan dengan Australia untuk membida tuan rumah Piala Dunia 2034.

“Indonesia memberikan sokongan kepada Arab Saudi. Kami akan terus membuat persiapan bagi menghantar bidaan setelah temasya edisi 2034 selesai, selain kejohanan lain di bawah FIFA,” kata Erick dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Sebelum ini, Erick mempertimbangkan untuk mengajak Malaysia dan Singapura untuk menjadi tuan rumah bersama temasya terbesar dalam dunia bola sepak itu.

Akan tetapi, jemputan ini ditolak oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dimana presidennya, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin menegaskan pihaknya tidak pernah berhasrat untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia.

“Kita (Malaysia) tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan mengenai penganjuran Piala Dunia 2034 dengan sesiapa. Kita juga tidak berhasrat untuk membida menjadi tuan rumah Piala Dunia dalam masa terdekat.

“Kita menyokong bidaan Arab Saudi dengan sokongan majoriti negara AFC. Kita percaya Arab Saudi boleh menjadi tuan rumah Piala Dunia yang berjaya,” jelas Datuk Hamidin.

Sebelum ini, Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) telah menjemput negara dari Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Konfederasi Bola Sepak Oceania (OFC) untuk membida hak tuan rumah Piala Dunia untuk tahun 2034.

Sebuah portal akhbar dari Australia, The Sydney Morning Herald berpendapat Malaysia layak jadi tuan rumah Piala Dunia 2034 bersama Singapura.

Malaysia dan Singapura dilihat sebagai calon yang sesuai untuk menjadi tuan rumah kerana faktor keamanan dan mempunyai fasiliti sukan yang baik.