Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir mengakui pihaknya sedang berbincang dengan Australia mengenai rancangan  membida sebagai tuan rumah bersama Piala Dunia 2034.

Baca Juga:

Beliau juga sedang mengkaji kemungkinan untuk menjemput Malaysia dan Singapura menjadi tuan rumah bersama.

“Kami sedang berbincang dengan Australia. Ketika melawat Malaysia dan Singapura, kedua-dua negara berminat menyertai Indonesia dan Australia,” kata Erick Thohir dipetik dalam Reuters.

Minggu lepas, Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) telah menjemput negara dari Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Konfederasi Bola Sepak Oceania (OFC) untuk membida hak tuan rumah Piala Dunia untuk tahun 2034.

Erick Thohir mengatakan ketika ini ada dua pilihan untuk jadi tuan rumah Piala Dunia 2034 iaitu bergabung dengan Australia dan New Zealand atau bersama Australia, Malaysia serta Singapura.

“Pihak Australia ajak kembali Indonesia. Kita ada pilihan iaitu Indonesia, Australia dengan penambahan New Zealand.

“Atau pilihan lain iaitu bersama Australia, Indonesia, Malaysia dan Singapura,” kata Presiden PSSI itu dipetik dalam CNN Indonesia. 

Sebelum ini, sebuah portal akhbar dari Australia, The Sydney Morning Herald berpendapat Malaysia layak jadi tuan rumah Piala Dunia 2034 bersama Singapura.

Malaysia dan Singapura dilihat sebagai calon yang sesuai untuk menjadi tuan rumah kerana faktor keamanan dan mempunyai fasiliti sukan yang baik.

Hanya Arab Saudi telah menghantar bidaan rasmi sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034 sebagai langkah menjadikan negara itu kuasa sukan dunia.

Bagaimanapun, Erick Thohir melihat peluang untuk negara Asia Tenggara jadi tuan rumah Piala Dunia nampak cerah selepas negara Timur Tengah seperti Qatar sudah menjadi tuan rumah tahun lepas.

“Peluang kami cerah. Saya rasa FIFA akan melihat yang Timur Tengah sudah menjadi tuan rumah menerusi Qatar tahun lalu.

“Jepun dan Korea juga pernah menjadi tuan rumah. Saya pasti FIFA akan cuba mendapatkan negara lain.

“Kita berpotensi menang jika bergabung dengan Australia, Malaysia dan Singapura,” katanya.