Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) memutuskan untuk menggunakan jenama sukan tempatan iaitu Mills Sport pada jersi rasmi skuad kebangsaan sebagai menyokong produk negara itu.

Sebelum ini PSSI membatalkan kerjasama dengan jenama sukan dari Thailand, Warrix dan jenama terkemuka dunia, Nike kerana para peminat bola sepak Indonesia menggesa badan induk itu menggunakan jenama sendiri.

Mills merupakan jenama sukan yang terbesar di Indonesia dan mereka melancarkan jersi berwarna merah dengan identiti negara itu serta sedikit sentuhan warna putih di bahagian kolar.

Pegawai komunikasi dan pemasaran Mills, Fachry Assegaff berkata, pihaknya bangga dapat menghasilkan jersi rasmi yang bakal dipakai oleh pemain skuad kebangsaan Indonesia pada perlawanan antarabangsa yang akan datang.

Assegaff menjelaskan jersi itu merupakan buatan anak muda Indonesia dan melambangkan semangat yang ada pada para pemain.

“Ada motif sayap kiri dan kanan, itu menggambarkan sayapnya garuda. Kami namakan itu ‘Pelukan Garuda’ agar pemain lebih gagah dan kuat seperti garuda. Dan background logo garuda pada jersi ada motif berbentuk rantai yang menggambarkan penyatuan Indonesia,” kata Fachry.

EV0rbNoUMAAjJen
FOTO: Mills sports

Setakat ini mereka hanya melancarkan jersi ‘home’ sahaja manakala jersi ‘away’ dan ketiga akan menyusul dalam masa terdekat.

“Hari ini kami melancarkan jersi home terlebih dahulu, untuk jersi away dan ketiga akan menyusul kemudian kerana ia masih dalam proses pembuatan. Besar harapan kami agar rakyat terus menyokong skuad kebangsaan Indonesia,” tambahnya.

Hasil kerjasama dengan PSSI, Mills tidak hanya menyediakan kelengkapan pakaian sukan untuk skuad Indonesia tetapi mereka juga menyediakan t-shirt khas untuk kursus pengadil dan kejurulatihan yang dianjurkan oleh badan induk itu.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Media Thailand ‘Berpakat’ Beri Petua Bagaimana Vietnam Boleh Tewaskan Malaysia Dalam Kelayakan Piala Dunia 2022

Bekas Pemain Thailand, Sarawut Masuk Muncul Kembali, Minta Bantuan FAT Selesaikan Masalah Hutang