Skuad Harimau Malaya memperolehi semangat tambahan menjelang pertemuan Derbi Nusantara menentang Indonesia malam esok apabila dua pemain, Akhyar Rashid dan Dion Cools menyertai sesi latihan pasukan di Stadium Yishun, petang semalam.
Akhyar sudah selesai tempoh kuarantin selama 10 hari selepas didapati positif COVID-19 minggu lalu manakala Dion Cools tiba dari luar negara selepas tamat tugasan bersama kelabnya.
Malaysia wajib menang pada aksi terakhir Kumpulan B, Piala Suzuki AFF 2020 untuk menempah tiket ke separuh akhir. Kehadiran dua pemain tersebut memberikan banyak pilihan kepada Tan Cheng Hoe untuk membentuk barisan yang mantap.
Cools dijangka bergandingan dengan Dominic Tan di bahagian pertahanan tengah selepas Aidil Zafuan dan Shahrul Saad yang boleh bermain di posisi itu mengalami kecederaan hamstring dan tidak sempat pulih.
“Saya fikir kedua-dua mereka (Aidil dan Shahrul) akan tersisih dari aksi berdepan Indonesia dan kita juga harap mereka boleh sertai pasukan secepat yang boleh. Tapi paling penting kita kena fokus untuk aksi berdepan Indonesia.
“Memang kita rasa kehilangan kedua-dua tonggak utama itu memberi kesan besar kepada pasukan dan sudah pasti kita harap Cools dan Dominic dapat membentuk kombinasi yang baik.
“Kita harap Cools boleh bagi ‘cool’ kepada pasukan dan dari segi pengalaman. Kita nampak dia boleh membantu pasukan terutama situasi sekarang kita hilang ramai tonggak,” katanya
Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin menuntut komitmen seratus peratus daripada para pemain dan pegawai skuad Harimau Malaya bagi misi wajib menang ke atas Indonesia.
“Saya mempunyai keyakinan tinggi pasukan kita akan dapat mengalahkan Indonesia dengan berbekal komitmen semua pemain dan pegawai serta strategi yang betul.
“Strategi berserta kemahuan para pemain ini adalah mustahak untuk kita adunkan dengan sebaik mungkin apabila turun berdepan Indonesia nanti.
“Bagi saya, lawan Indonesia ini langsung tak mustahil untuk kita menang sebenarnya. Saya tahu kita boleh bermain dengan lebih baik dan boleh menang.
“Semua ini menuntut komitmen seratus peratus daripada semua pemain dan pegawai untuk tempoh dua tiga hari menjelang perlawanan pada Ahad ini,” kata Datuk Haji Hamidin ketika mesyuarat secara dalam talian dengan skuad Harimau Malaya.
Namun pada masa yang sama, Datuk Haji Hamidin tetap mahukan para pemain berhati-hati dan lebih berwaspada supaya tidak tercicir mata pada aksi bertemu Indonesia itu.
“Cuma sedikit ‘disadvantage’ kepada kita yang mana kita wajib menang, tak boleh seri. Kalau kita sudah mendahului satu gol pun, Indonesia masih boleh samakan kedudukan pada minit akhir.
“Jadi kita kena berhati-hati kerana kalau seri, kita gagal layak ke separuh akhir. Saya fikir pemain sudah pasti tahu tugas dan tanggungjawab mereka. Saya yakin Harimau Malaya mampu melakukannya,” tegas Datuk Haji Hamidin.
Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan lain dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 melalui pautan dibawah.
Piala Suzuki AFF 2020: Ketum PSSI Yakin Indonesia Akan Kalahkan Malaysia
VFF ‘Tabur’ Duit Bonus Kemenangan RM181,000 Selepas Berjaya Tumbangkan Malaysia
‘Tahi Judi’ Ini Bengang Malaysia Menang Besar, Dakwa Laos Jual Perlawanan Di Singapura
Piala AFF 2020: Rekod Hebat Teerasil Dangda Serikan Kejayaan Thailand