Pengendali Ulsan Hyundai, Hong Myung-bo menganggap nasib tidak menyebelahi pasukannya apabila tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi kumpulan I saingan AFC Champions League (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim baru-baru ini.

Baca Juga:

Menurut Myung-bo, beliau mengakui pasukannya ada membuat beberapa kesilapan sehingga membenarkan pasukan lawan menjaringkan gol kemenangan tetapi masih berbangga dengan prestasi yang ditampilkan oleh para pemain.

“Bermain di stadium pihak lawan (SSI), kita telah berusaha sehabis mungkin tetapi tuah tetap tidak berpihak buat Ulsan hari ini. Saya tetap berterima kasih dengan semua pemain kerana beberapa cubaan terbaik telah dihasilkan dalam perlawanan yang sengit hari ini (semalam),” kata Hong Myung-bo menurut laporan Flash Sukan.

Tewas pada aksi di Korea Selatan tempoh hari, anak buah Esteban Solari tampil dengan cukup garang untuk memburu kemenangan pada perlawanan yang berlangsung di hadapan penyokong sendiri.

Heberty Fernandes menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-44 yang menyaksikan ledakan kaki kiri dilakukannya berjaya menewaskan penjaga gol Ulsan Hyundai, Jo Hyeon-woo untuk meletakkan tuan rumah dihadapan.

Tidak mahu terus ditekan tuan rumah, Ulsan Hyundai memperkemaskan aksi untuk mendapatkan jaringan penyamaan. Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-69 selepas hantaran lolos Valeri Qazaishvili disudahkan dengan cukup baik oleh Ataru Esaka bagi menjadikan kedudukan 1-1.

Ulsan mendapat dua peluang keemasan pada minit ke-80 dan 86 menerusi percubaan Qazaishvili serta Martin Adam tetapi Ahmad Syihan Hazmi cemerlang menafikan dua percubaan berbahaya tersebut.

Akhyar Rashid berjaya membalas kepercayaan yang diberikan Solari dengan memasukannya pada minit ke-85 selepas pemain sayap itu menyudahkan peluang dimiliki untuk menghadiahkan jaringan kemenangan buat JDT.

Keputusan 2-1 itu kekal hingga tamat permainan bagi membolehkan JDT kini terikat enam mata bersama Ulsan Hyundai.

Wakil dari Korea Selatan itu bagaimanapun berada di kedudukan kedua berikutan kelebihan perbezaan jaringan dimiliki.

Kedudukan teratas masih lagi dihuni oleh kelab Jepun, Kawasaki Frontale yang mengutip 12 mata susulan rekod kemenangan bersih empat perlawanan.