Gol lewat permainan oleh Akhyar Rashid memastikan Johor Darul Ta’zim (JDT) masih berpeluang untuk mara lebih jauh dalam saingan AFC Champions League 2023/24 selepas menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 pada aksi keempat peringkat kumpulan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Baca Juga:
- ACL 2023/24: Solari Yakin JDT Mampu Lepasi Peringkat Kumpulan
- ACL 2023/24: JDT Terpaksa Akur Dengan Kehebatan Ulsan Hyundai
- ACL 2023/24: JDT Tewas Tipis Kepada Kawasaki Frontale
Tewas pada aksi di Korea Selatan tempoh hari, anak buah Esteban Solari tampil dengan cukup garang untuk memburu kemenangan pada perlawanan ini.
Ia jelas dibuktikan apabila pemain JDT dilihat cukup bernafsu untuk mendapatkan jaringan menerusi beberapa peluang terbaik yang dijelmakan.
Peluang keemasan JDT hadir pada minit ke-10 selepas percubaan ‘placing’ oleh Fernando Forestieri hanya singgah di tiang gol ketika penjaga gol Ulsan Hyundai, Jo Hyeon-woo sudah pun tertewas.
Keadaan hampir serupa terjadi pada minit ke-40 apabila percubaan Bergson da Silva dari luar kawasan penalti turut terkena palang gol.
Kekecewaan Bergson itu ditebus Heberty Fernandes pada minit ke-44 yang menyaksikan ledakan kaki kiri dilakukannya berjaya menewaskan Hyeon-woo untuk meletakkan tuan rumah dihadapan.
JDT terlepas peluang untuk menambah jaringan selepas percubaan sepakan percuma Heberty pada minit ke-49 sekali lagi terkena pintu gol.
Tidak mahu terus ditekan tuan rumah, Ulsan Hyundai memperkemaskan aksi untuk mendapatkan jaringan penyamaan.
Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-69 selepas hantaran lolos Valeri Qazaishvili disudahkan dengan cukup baik oleh Ataru Esaka bagi menjadikan kedudukan 1-1.
Aksi lebih menarik ditampilkan kedua-dua pasukan selepas itu dengan corak permainan saling berbalas serangan.
Ulsan mendapat dua peluang keemasan pada minit ke-80 dan 86 menerusi percubaan Qazaishvili serta Martin Adam tetapi Ahmad Syihan Hazmi cemerlang menafikan dua percubaan berbahaya tersebut.
Akhyar Rashid berjaya membalas kepercayaan yang diberikan Solari dengan memasukannya pada minit ke-85 selepas pemain sayap itu menyudahkan peluang dimiliki untuk menghadiahkan jaringan kemenangan buat JDT.
Keputusan 2-1 itu kekal hingga tamat permainan bagi membolehkan JDT kini terikat enam mata bersama Ulsan Hyundai.
Wakil dari Korea Selatan itu bagaimanapun berada di kedudukan kedua berikutan kelebihan perbezaan jaringan dimiliki.
Kedudukan teratas masih lagi dihuni Kawasaki Frontale yang mengutip 12 mata susulan rekod kemenangan bersih empat perlawanan.