Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalami kekalahan kedua dalam saingan AFC Champions League (ACL) 2023/24 selepas tunduk 1-3 ditangan Ulsan Hyundai pada aksi yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Ulsan Munsu, sebentar tadi.

Baca Juga:

Keadaan itu menyaksikan JDT turun satu anak tangga untuk berada di kedudukan ketiga manakala Ulsan Hyundai pula melonjak ke tangga teratas meskipun terikat enam mata bersama Kawasaki Frontale yang masih kekurangan satu perlawanan.

Skrip yang sama berlaku seperti perlawanan dengan BG Pathum pada awal bulan tempoh hari apabila JDT dibolosi seawal minit kelima.

Jaringan pembukaan oleh tuan rumah itu dihasilkan oleh Jung Seunghyun yang mudah menolak masuk bola ketika beliau tidak dikawal dalam situasi sepakan penjuru.

Memasuki minit ke-12, Gustav Erik Ludwigson menambah jaringan kedua setelah cubaan Jordi Amat untuk menghalang bola hantaran jauh terus menuju ke kawasan penalti yang membolehkan pemain import dari Sweden itu melakukan percubaan separa voli menewaskan Ahmah Syihan Hazmi Mohamed.

Ulsan Hyundai terus mengambil kesempatan di atas kegagalan barisan pemain JDT untuk selesa dengan keadaan permainan.

Ia dibuktikan berselang enam minit kemudian apabila Gustav yang menerima hantaran jauh Seunghyun, masuk ke dalam kawasan penalti dan menyudahkan peluang terhidang dengan satu percubaan ‘placing’ rendah menjadikan kedudukan 3-0.

Skuad kendalian Hong Myung-bo itu bagaimanapun tersentak pada minit ke-36 selepas pemain bek sisi, Kim Tae-hwan diperintahkan keluar padang pada minit ke-36 ekoran kad kuning kedua diterimanya.

Keadaan itu memberikan sedikit ruang buat JDT untuk menjelmakan sesuatu hingga usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-53 menerusi Bergson da Silva.

Rembatan daripada peledak berbisa kelahiran Brazil itu berjaya menewaskan Jo Hyeon-woo untuk JDT merapatkan defisit jaringan.

Penguasaan permainan JDT selepas itu bagaimanapun tidak mampu menambah jaringan yang diharapkan berikutan disiplin tinggi pemain Ulsan Hyundai dalam bertahan untuk kedudukan 3-1 itu kekal memihak tuan rumah.