Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya meraih kemenangan sulung dalam AFC Champions League (ACL) 2023/24 selepas menundukkan BG Pathum United 4-2 pada aksi kedua yang berlangsung di Pathum Thani, Thailand sebentar tadi.
Baca Juga:
- ACL 2023/24: JDT Raih Kemenangan Sulung, Atasi BG Pathum
- ACL 2023/24: Gara Gara Patung, Al Ittihad Enggan Bermain Lawan Sepahan
- ACL 2023/24: JDT Tewas Tipis Kepada Kawasaki Frontale
Kemenangan penting yang diharapkan itu sekali gus meletakkan JDT pada ketika ini di kedudukan kedua kumpulan I (kelebihan jumlah jaringan) setelah Kawasaki Frontale menewaskan Ulsan Hyundai 1-0.
Tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit kelima selepas pemain pertahanan, Victor Cardozo dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti.
Sepakan tersebut dihadiahkan pengadil perlawanan, Mohammed Abdulla Hassan Mohamed berikutan kekasaran dilakukan Shane Lowry terhadap Danilo Almeida Alves.
Kelebihan itu bagaimanapun hanya mampu bertahan tidak sampai seminit setelah Arif Aiman Mohd Hanapi merembat masuk bola dalam kawasan penalti hasil hantaran jauh ketua pasukan, Jordi Amat.
JDT berada dihadapan ketika aksi memasuki minit ke-14 apabila gerakan baik dilakukan Heberty Fernandes memberikan ruang seluas-luasnya buat Bergson da Silva untuk meledakkan rembatan yang melepasi celah kaki penjaga gol BG Pathum, Chatchai Budprom.
Aksi bertambah menarik pada babak kedua dengan corak permainan saling berbalas serangan serta tambahan tiga gol lagi dapat disaksikan.
Penyokong JDT terus melonjak kegembiraan pada minit ke-52 selepas Juan Muniz melakukan percubaan susulan yang menewaskan Chatchai untuk menjadikan kedudukan 3-1.
Victor mengurangkan defisit jaringan berselang tiga minit kemudian apabila beliau menanduk masuk bola hasil hantaran berkualiti Chanathip Songkrasin.
Tiga cukup dengan kelebihan satu jaringan tersebut jelas masih belum membuatkan para pemain JDT berpuas hati.
Ia jelas dibuktikan apabila asakan demi asakan dilakukan tetapi dua percubaan keemasan dimiliki Bergson hanya singgah di tiang gol.
Kehampaan itu ditebus Arif Aiman pada minit ke-78 apabila pemain sayap lincah tersebut melakukan percubaan leret yang berjaya sekali lagi menewaskan Chatchai untuk gol kedua peribadi buatnya.
Kedudukan 4-2 itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat skuad kendalian Esteban Solari tersebut.
JDT akan berkunjung ke Munsu Football Stadium pada 24 Oktober ini untuk perlawanan ketiga bertemu bekas juara dua kali saingan, Ulsan Hyundai.