Impian skuad Malaysia Bawah 17 tahun (B-17) untuk mara lebih jauh dalam saingan Piala Asia B-17 tidak menjadi kenyataan selepas mereka tewas 3-0 di tangan Thailand pada aksi kedua peringkat kumpulan A semalam.

Kekalahan kedua berturut-turut itu menyaksikan skuad bimbingan Osmera Omaro terpaksa melupakan impian untuk beraksi di Piala Dunia B-17 selepas gagal mengutip sebarang mata daripada dua perlawanan yang diharungi.

Hanya empat pasukan yang mara ke separuh akhir akan diberikan slot automatik ke Piala Dunia B-17 pada tahun ini.

Pelbagai persiapan sudah dibuat termasuk dihantar berlatih di Qatar dan menyertai kejohanan jemputan di Jepun, namun ia nampaknya masih belum cukup untuk membantu meningkatkan kualiti permainan pemain muda negara.

Kebanyakan pemain dalam skuad ini adalah pelatih daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sekaligus menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Piala Asia B-17
Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Beberapa perubahan dilakukan Osmera bagi menghadapi perlawanan menentang Thailand tetapi ia nyata tidak banyak dapat mengubah corak permainan skuad negara.

Malah, Thailand yang turut menang ketika menentang Laos tempoh hari tampil dengan lebih tersusun untuk mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Malaysia.

Gol pembukaan skuad kendalian Pipob On-Mo itu hadir pada masa kecederaan babak pertama selepas keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol disempurnakan oleh ketua pasukan, Pacharapol Lekkun ketika pertahanan skuad negara gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Kedudukan berubah pada minit ke-54 apabila satu gerakan dilakukan Chanothai Kongmeng disudahkan dengan cukup baik oleh Chanasorn Choklap untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Kealpaan jentera pertahanan skuad Malaysia terus dihukum Thailand berikutan hantaran lintang daripada Jirapong Pungviravong mudah ditolak masuk Chanothai yang tidak dikawal pemain negara.

Keadaan 3-0 itu kekal hingga tamat permainan sekaligus memastikan Thailand layak ke suku akhir bersama Yemen selepas kedua-dua pasukan itu berkongsi 6 mata dalam kumpulan A.