Skuad Malaysia bawah 17 tahun (B-17) bakal membuka tirai aksi di pusingan akhir Piala Asia B-17 dalam Kumpulan A menentang Yaman pukul 6 petang ini di Stadium Thammasat.

Baca Juga:

Kemenangan pertama cukup penting bagi memudahkan skuad muda negara layak hingga ke separuh akhir kerana empat pasukan terbaik dari kejohanan itu akan mendapat tiket ke Piala Dunia B-17 tahun ini.

Namun cabaran itu tidak mudah kerana mereka turut berdepan beberapa pasukan besar seperti Qatar, Iran dan Korea Selatan yang menanti di peringkat seterusnya.

Bagaimanapun, Pengurus pasukan B-17 negara, Christopher Raj yakin dengan kemampuan anak buah Osmera Omaro itu untuk melakar kejutan layak ke Piala Dunia secara merit buat kali pertama dalam sejarah.

“Semasa sesi perbincangan ringkas dengan pemain, saya katakan tidak pernah ada dalam bola sepak Malaysia mana-mana pemain dapat bermain di Piala Dunia, tak kira senior atau sebagainya.

“Tahun ini tahun akhir yang mana Piala Dunia akan dimainkan secara dua tahun sekali. Bermula 2025, setiap tahun akan ada Piala Dunia untuk B-17 dan B19.

“Jadi saya katakan kepada mereka kalau anda nak buat sejarah, kali inilah nak buat sejarah dan sejarah ini akan diingati bukan sahaja oleh negara tetapi untuk sejarah kepada diri anda sendiri.

“Saya pasti kalau mereka bermain dengan baik, mengambil peluang, bersikap positif dan berkeyakinan tinggi, saya fikir kami boleh layak ke separuh akhir, saya yakin,” katanya dalam Berita Harian.

Selepas Yaman, skuad negara akan mengharungi aksi kedua berdepan tuan rumah, Thailand di Stadium Pathum Thani, Ahad ini sebelum perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Laos (21 Jun) di Stadium Thammasat.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke suku akhir pada 25 dan 26 Jun, seterusnya separuh akhir (29 Jun) dan final dijadual berlangsung pada 2 Julai.