Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd kini berada di Kigali, Rwanda untuk menghadiri Kongres Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke-73 sebagai Ahli Majlis FIFA.
Baca Juga:
- MFL Sahkan Liga Malaysia Bakal Gunakan VAR
- Safawi Rasid: VAR Sangat Penting Buat Liga Bola Sepak Profesional
- Gol Ofsaid, Tetapi Pengadil VAR Terlupa ‘Tarik’ Garisan
Malah, beliau juga sempat bertemu Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA, Pierluigi Collina untuk membincang mengenai penggunaan video bantuan pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia.
Collina ialah pengadil legenda yang tidak pernah gentar dengan mana-mana pemain termasuk bintang bola sepak dunia setiap kali mengadili perlawanan besar di pentas antarabangsa.
“Collina menjelaskan ada dua jenis VAR yang boleh menjadi pilihan kita, iaitu ‘Full VAR’ yang dilengkapi dengan minumum lapan kamera atau ‘VAR Light’, *kurang dari lapan kamera*
“Meskipun Collina mencadangkan Full VAR namun menjelaskan VAR Light boleh juga digunakan untuk peringkat permulaan ekoran harganya yang lebih murah 50 peratus.
“Namun Collina mengingatkan kualiti pastinya jauh berbeza dengan Full VAR jika memilih untuk menggunakan VAR Light,” kata Datuk Haji Hamidin sejurus selepas berjumpa dengan legenda pengadil itu selepas tamat kongres.
Tambah Datuk Haji Hamidin lagi tindakan susulan akan diadakan oleh FAM, MFL dengan unit Pengadil FIFA mengenai penggunaan VAR ini.
Bulan lepas, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan teknologi VAR bakal digunakan dalam saingan Liga Malaysia bermula musim 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam berkata teknologi tersebut tidak akan segera digunakan pada awal musim 2023 kerana ianya memerlukan latihan khususnya terhada pengadil yang akan mengendalikan teknologi itu dan beberapa siri ujian. Berkemungkinan besar VAR akan digunakan pada perlawanan peringkat kalah mati saingan Piala FA dan Piala Malaysia.
Menurut Stuart, latihan dan persiapan tersebut mengambil masa dalam 6 hingga 7 bulan. Oleh itu, MFL menyatakan bahawa mereka sedang bergerak aktif dalam memastikan teknologi itu akan dapat digunakan pada peringkat terakhir Piala Malaysia pada musim ini.
Selain faktor latihan terhadap pengadil dan ujian, kos juga merupakan satu isu yang perlu diberikan perhatian kerana bukan murah untuk memasang teknologi tersebut.