Viktor Gyokeres memberi amaran kepada skuad Sweden pada Ahad bahawa mereka perlu beraksi “hampir sempurna” di bahagian pertahanan jika mahu melakar kejutan ke atas Perancis dalam pusingan 32 terakhir Piala Dunia.

Naib juara 2022, Perancis, menjadi pilihan utama untuk menewaskan Sweden apabila kedua-dua pasukan bertemu pada hari Selasa di New Jersey.

Bercakap di kem latihan Sweden di Dallas, penyerang Arsenal, Gyokeres langsung tidak cuba memperkecilkan skala cabaran yang bakal dihadapi pasukannya.

“Kami harus berada pada tahap terbaik, memastikan organisasi pertahanan kami hampir sempurna dan sudah tentu, memanfaatkan setiap peluang yang bakal diperoleh,” kata beliau.

Sweden meloloskan diri ke pusingan kalah mati, membelasah Tunisia 5-1 sebelum tewas kepada Belanda dengan keputusan yang sama.

Skuad kendalian Graham Potter, yang terpaksa mengharungi pusingan play-off untuk layak ke Amerika Utara, berjaya melepasi peringkat kumpulan selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Jepun.

Meskipun berdepan kempen yang tidak menentu, Gyokeres berkata: “Kami mempunyai keyakinan. Saya rasa kami perlu percaya kepada diri sendiri.

“Kita telah menyaksikan dalam banyak perlawanan sepanjang kejohanan ini bahawa kita mampu memenangi perlawanan (sebagai pasukan bukan pilihan). Kita boleh beraksi dengan baik walaupun menentang pasukan terbaik.

“Sudah tentu kami mungkin dianggap sebagai pasukan bukan pilihan, tetapi kami tetap percaya kepada kemampuan diri kami.”

Gyokeres akan berhadapan secara langsung dengan rakan sepasukan Arsenal, William Saliba, sesuatu yang amat dinantikannya.

Apabila ditanya oleh AFP mengenai prospek tersebut, beliau berkata: “Saya tidak sabar untuk bertemu dengannya dan bermain menentangnya, ia pasti menyeronokkan.”

Perancis memberi amaran keras pada peringkat kumpulan untuk membuktikan mengapa mereka merupakan antara pasukan pilihan, selepas memenangi kesemua tiga perlawanan dengan Kylian Mbappe dan Ousmane Dembele masing-masing telah meledak empat gol setakat ini.