Malaysia berpotensi untuk bertemu pasukan Indonesia pada perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang dijadualkan bermula pada Oktober ini.

Baru-baru ini, senarai pasukan yang beraksi dalam pusingan pertama telah dikeluarkan yang mana Indonesia menjadi salah satu pasukan yang terpaksa beraksi dari pusingan pertama.

Oleh itu, Indonesia yang dibimbing Shin Tae-yong berpotensi untuk bertemu dengan Malaysia ekoran skuad Harimau Malaya itu bakal memulakan aksi pada pusingan kedua.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada perlawanan peringkat kumpulan saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2020 di Singapura.

Skuad muda Indonesia berjaya menundukkan pasukan negara dengan keputusan 4-1. Skuad Garuda kemudiannya muncul sebagai naib juara selepas tewas kepada Thailand.

Pasukan yang beraksi pada pusingan pertama terdiri daripada pasukan yang menghuni ranking 26 hingga 47 dalam ranking AFC dan mereka akan beraksi dalam dua perlawanan Home dan Away.

11 pemenang akan layak ke pusingan kedua yang mana mereka bakal berdepan pasukan yang menghuni ranking 1 hingga 25 yang akan dibahagikan kepada sembilan kumpulan dengan empat pasukan setiap satu, yang masing-masing akan bersaing dalam format round robin, tempat sendiri dan tempat lawan, di mana dua pasukan teratas dari setiap kumpulan – 18 pasukan – akan mara ke Kelayakan Asia AFC.

18 pasukan ini bakal mendapat tiket automatik ke temasya Piala Asia 2027 dan mereka akan akan dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan enam pasukan setiap satu, bersaing dalam format round robin, tempat sendiri dan tempat lawan, dengan dua pasukan teratas dari setiap kumpulan – enam keseluruhannya – layak terus ke Piala Dunia FIFA 2026.

Pusingan akhir akan terdiri daripada pasukan tempat ketiga dan keempat daripada semua kumpulan Kelayakan Asia AFC – enam pasukan kesemuanya. Enam pasukan akan diundi kepada dua kumpulan tiga pasukan setiap satu, bersaing dalam format single round robin.

Dua pasukan tempat pertama dari kumpulan Playoff Asia akan mara ke Piala Dunia FIFA 2026. Pasukan tempat kedua daripada kedua-dua kumpulan akan bersaing dalam perlawanan playoff untuk menentukan pasukan yang akan mewakili AFC dalam Playoff Antara Benua.