Rekrut baharu Newcastle United, Bruno Guimaraes mengakui kelab yang kini mendapat suntikan dana besar itu mampu menjadi lebih besar berbanding juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 2003/04, Arsenal.

Pemain tengah kelahiran Rio de Janeiro itu menyertai Newcastle United dari Lyon pada penghujung jendela perpindahan Januari tempoh hari dengan transaksi bernilai £40 juta.

Dengan dana besar diberikan pemilik baharu, Newcastle turut membawa masuk Kieran Trippier dari Atletico Madrid, Chris Wood (Burnley), Matt Targett (Aston Villa) dan Dan Burn (Brighton).

Sehubungan dengan itu, Guimaraes tanpa berselindung melihat pasukan baharunya itu akan mencapai tahap lebih baik daripada Arsenal dimana The Gunners sebelum ini turut berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

“Sudah pasti [Newcastle mampu menjadi kelab lebih besar dari Arsenal]. Ia sudah menjadi kelab dengan tradisi yang hebat, mempunyai sejarah besar.”

“Saya tidak ragu-ragu tentang keputusan saya datang ke sini,” ujar Guimaraes menurut laporan dikeluarkan Goal.

“Saya percaya dalam segalanya bahawa pemilik telah memberitahu saya tentang projeknya. Kami mahu menjadi kuasa besar dalam dunia bola sepak.”

“Musim ini, sasarannya adalah untuk kekal dalam saingan Liga Perdana Inggeris tetapi objektif utama tahun mendatang ialah berada dalam kancah Liga Juara-Juara Eropah dan akhirnya memenangi saingan tersebut,” tambah Guimaraes lagi.

Kehadiran lima pemain tersebut nyata tepat pada masanya apabila Newcastle United kini hanya berada di tangga ke-18 dengan dua kemenangan, sembilan keputusan seri dan 10 kekalahan untuk mengumpul 15 mata.

Namun, dengan jarak mata yang tidaklah terlalu jauh berbanding pasukan di atas [kelompok bawahan] bukanlah satu keadaan genting untuk dirisaukan seluruh kem Newcastle United.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia:

Bambang Akui Berat Hati Lepaskan Pemain Persija Sertai Kem B-23 Indonesia

Rangnick: ‘Ada Sebab Kukuh Kenapa Manchester United Tak Menang Liga 10 Tahun Ini’

Zamsaham Sanggup Beli Sistem VAR Untuk Perbaiki Mutu Pengadil

Sumber