Pemain Kelantan FC, Abdul Latiff Suhaimi membuktikan dia masih ada sentuhan selaku penyerang selepas muncul wira The Red Warriors ketika membenam cabaran Skuad Projek FAM-MSN, pada Jumaat yang lalu melalui keputusan 1-0.
Walaupun akui ada sedikit janggal selepas kali terakhir bermain sebagai penyerang pada musim 2016 ketika mewakili PDRM, Latiff bersedia jika terus diberikan peranan yang sama pada perlawanan mendatang.
“Kali terakhir bermain selaku penyerang ialah semasa dengan PDRM, enam musim lalu sebelum saya diletakkan sebagai pertahanan tengah atau pemain tengah di pertengahan musim, jadi memang bukan satu masalah apabila saya bermain semula di posisi berkenaan.
“Semasa sesi latihan, saya telah membuat penggiliran bermain di dua posisi iaitu antara pertahanan dan penyerang malah jurulatih mahu saya bersiap sedia jika keadaan
memerlukan.”
“Dia berkata demikian selepas melihat ramai penyerang mengalami kecederaan dan peluang akhirnya datang semasa berdepan Skuad Projek, saya tidak sangka jurulatih mengarahkan saya masuk di babak kedua kerana pada waktu itu masih ada penyerang lain.”
“Syukur saya dapat berikan jaringan penting bagi bantu pasukan yang secara tidak langsung kembali menyuntik semangat saya untuk terus bermain sebagai penyerang malah tidak jangka dapat lakukan pada perlawanan pertama dengan Kelantan,” katanya.
Latiff yang berusia 33 tahun bermain sebagai penyerang dalam beberapa pasukan yang diwakili seperti Felda United, T-Team dan Penang sebelum perubahan posisi pada musim 2016 melihatkan dia bermain selaku pertahanan ketika bersama Terengganu FC, Selangor FC dan Penang FC.
Setelah cemerlang membantu Penang menjuarai Liga Premier pada musim 2020 selain menduduki tempat ketiga Liga Super, tahun lalu, Latiff dilepaskan pada pertengahan musim berikutan kehadiran jurulatih baharu, Zainal Abidin Hassan.
Bakal berdepan Perak pada Rabu di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Latiff menjangkakan perlawanan ini pasti getir kepada Kelantan memandangkan lawan kini dibarisi ramai pemain berpengalaman seperti Wan Zack Haikal, Indra Putra Mahayuddin dan Ahmad Syamim Yahya.
“Berdepan Perak sudah pasti akan menjadi cabaran hebat buat Kelantan memandangkan pasukan itu sedang berada di tahap terbaik selepas kehadiran ramai pemain baharu pada pertengahan musim.”
“Sudah pasti mana-mana pasukan yang berada di kedudukan kami, pasti akan merasai tekanan bagi terus kekalkan kelebihan di tangga teratas serta tidak mahu keciciran mata dan kami perlu meraih kemenangan dengan Perak.”
“Semuanya terpulang kepada kami sendiri buat masa ini dan apabila melihat dalam pasukan, saya nampak pasukan ini karakter serta mampu untuk memastikan kejuaraan Liga Premier boleh dicapai,” tambah Abdul Latiff Suhaimi lagi.