Naib Presiden Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), Victor Montagliani membayangkan semua anggota di seluruh dunia hanya akan menumpu perhatian terhadap saingan Liga domestik sehingga penghujung tahun ini tanpa sebarang perlawanan di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, perlawanan persahabatan antarabangsa atau kelayakan Piala Dunia 2022 tidak mungkin akan bersambung semula selepas beberapa bulan berikutan kawalan masuk yang sangat ketat ditetapkan oleh beberapa negara susulan penyebaran wabak COVID-19.
FIFA sebelum ini mengumumkan penangguhan kejohanan Piala Dunia Wanita B-20 dan Piala Dunia Wanita B-17. Nasib Kejohanan Futsal Piala Dunia di Lithuania akan diketahui pada penghujung bulan April ini.
Malah, kalendar perlawanan antarabangsa pada bulan September, Oktober dan November untuk pasukan kebangsaan mungkin dibatalkan.
“Saya fikir keutamaan ketika ini ialah menamatkan saingan liga domestik. Bulan September masih berada dalam pertimbangan, tetapi saya tidak pasti sama ada ia benar-benar selamat untuk kesihatan pemain dan pegawai.
“Sekiranya kita memberi lampu hijau untuk melangsungkan perlawanan bola sepak. Saya pasti mereka mahu perlawanan pertama dilakukan dengan kehadiran penonton. Saya rasa itu akan mengambil risiko besar,” katanya seperti dipetik dalam Japan Times
Victor Montagliani believes the September, October and November windows for national team matches could be scrapped due to #coronavirus https://t.co/I53BpqQPAs
— News18 Sports (@News18Sports) April 14, 2020
Tahun 2020 menyaksikan kejohanan Eropah dan kejohanan benua yang lain ditangguhkan ke tahun depan selepas wabak pandemik berterusan ‘menghuru-harakan’ kalendar bola sepak dunia.
“Kalau anda membawa sukan bola sepak merentasi sempadan antarabangsa dalam situasi wabak pandemik ini, itu akan mengundang masalah besar. Ya, sentiasa ada sebarang kemungkinan.
“Saya yakin bulan Mac 2021 adalah bulan yang terbaik untuk melangsungkan perlawanan antarabangsa. Keutamaan sekarang, pulihkan dahulu saingan liga domestik di negara masing-masing,” tambah Montagliani.
Malaysia sepatutnya menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand pada bulan Mac serta Mei namun terpaksa ditangguhkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kerana wabak pandemik berkenaan.
Difahamkan, badan induk Asia itu sudah mengeluarkan tarikh cadangan bagi aksi kelayakan itu pada 8 dan 13 Oktober untuk perlawanan menentang UAE dan Vietnam manakala aksi terakhir menentang Thailand dijadualkan 17 November.
Namun, mereka masih menunggu kelulusan daripada FIFA.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.
RASMI: Thai League Ditunda Sehingga Bulan September 2020 Dan Liga Dijangka Tamat Pada Bulan Mei 2021
J.League Sediakan ‘Pinjaman Kecemasan’ Berjumlah RM480 Juta Untuk Semua 58 Buah Kelab