Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman kepada Persatuan Bola Sepak (FA) Macau kerana keengganan mereka untuk menghantar pasukan bagi menghadapi perlawanan kedua kelayakan Piala Dunia 2022 pusingan pertama menentang Sri Lanka.
Perlawanan kedua antara Macau menentang Sri Langka sepatutnya berlangsung pada 11 Jun lalu. FA Macau enggan menghantar pasukan ke Colombo kerana bimbang dengan keselamatan para pemain dan pegawai pasukan susulan serangan pengganas yang terjadi pada April lalu.
Oleh itu, Sri Lanka diberikan kemenangan percuma 3-0 dan FA Macau dikenakan denda sebanyak CHF10,000 selepas Jawatankuasa Disiplin FIFA menganggap persatuan itu melanggar peraturan dengan tidak menghantar pasukan untuk bertanding.
“Jawatankuasa Tatatertib FIFA menganggap FA Macau melakukan pelanggaran Artikel 5 dalam peraturan Piala Dunia 2020 (berkaitan dengan pengeluaran, tidak melangsungkan dan meninggalkan perlawanan) dan Artikel 56 Kod Tatatertib FIFA,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan badan induk bola sepak dunia itu.
Hasilnya, Sri Lanka mara ke pusingan kedua peringkat kelayakan Piala Dunia 2020/Piala Asia 2023 dan akan mengambil bahagian dalam sesi undian yang akan dilangsungkan pada 17 Julai nanti di AFC House yang terletak di Kuala Lumpur.