Tonggak utama skuad futsal Indonesia, Holypaul Septinus ‘Evan’ Soumilena dilaporkan semakin hampir untuk mengembangkan kariernya ke Portugal.
Baca Juga:
- Futsal Kelab AFF 2023: Aksi Cemerlang Soumilena Pastikan Kemenangan Selesa Black Steel
- Black Steel Pastikan Trofi Futsal Kelab AFF Kekal Di Indonesia
- Futsal Kelab AFF 2023: Black Steel Terlalu Unggul Buat Pahang Rangers
Hal ini kerana pemain berusia 26 tahun itu difahamkan bakal diperkenalkan sebagai pemain baharu kelab Liga Futsal Profesional Portugal, ADCR Caxinas dan hanya menunggu proses kelulusan visa.
Desas-desus mengenai perkembangan tersebut sudah tular dalam kalangan media negara jiran tetangga tersebut beberapa hari lalu.
Cukup berbisa menyempurnakan peluang terhidang serta berbekalkan kekuatan fizikal dimiliki jelas menjadi senjata utama buat Soumilena dalam merobek gawang lawan.
Keadaan itu dibuktikan oleh beliau apabila meledakkan 33 gol dalam saingan Liga Futsal Profesional Indonesia 2022/23 manakala 24 gol disumbangkannya pada musim lalu.
Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan beliau kini merupakan pivot terbaik yang dimiliki oleh skuad futsal Indonesia pada ketika ini.
Soumilena memainkan peranan penting dalam membantu Black Steel Papua dalam menjulang trofi Liga Futsal Profesional Indonesia 2020/21 dan Piala Futsal AFF 2023.
Dalam kempen Piala Futsal AFF 2023, beliau turut muncul penjaring terbanyak dengan tujuh gol.
Kecemerlangan Soumilena turut dapat disaksikan ketika saingan antarabangsa dimana jurang antara Indonesia dengan pasukan-pasukan gergasi Asia seperti Thailand dan Jepun kelihatan semakin mengecil.
Dilaporkan pemain import Pendekar United yang merupakan legenda futsal dunia, Ricardinho menjadi individu bertanggungjawab dalam menyarankan kepada Caxinas untuk mendapatkan khidmat Evan Soumilena.
Malah Ricardinho turut mahu melihat pemain tersebut berkelana ke Eropah untuk membuktikan kemampuan yang boleh dijelmakannya.