Teka-teki mengenai pasukan baharu yang bakal disertai oleh legenda futsal dunia, Ricardinho akhirnya terungkai selepas beliau disahkan menyertai kelab saingan Liga Futsal Profesional Indonesia (PFL) 2021, Pendekar United.

Perkembangan terbaharu tersebut disahkan sendiri Ricardinho di laman sosial peribadinya yang menyebut beliau akan bersama kelab berpengkalan di Jakarta itu selama tiga bulan [sehingga tamat saingan PFL 2021].

“Mengumumkan bahawa saya telah mencapai persetujuan dengan kelab baharu saya dan sudah pasti ia akan menjadi satu lagi pengembaraan hebat di negara lain.”

“Satu projek dengan cita-cita tinggi, di negara yang begitu meminati futsal dan saya ke sana dengan keinginan besar untuk membantu kelab dan pasukan mencapai sesuatu yang unik dan tidak pernah berlaku sebelum ini.”

“Ia hanya akan menjadi perjanjian kontrak selama tiga bulan dan menamatkan musim dan kemudiannya kami akan memutuskan sama ada untuk meneruskan kontrak atau tidak. Nyata satu cabaran yang hebat,” ujar Ricardinho.

Pengesahan itu juga sekali gus menamatkan pelbagai spekulasi mengenai kehadiran Ricardinho ke Indonesia yang menjadi bualan ramai terutamanya buat peminat futsal sejak beberapa bulan lalu.

Berusia 36 tahun, Ricardinho hadir dengan reputasi yang cukup digeruni pasukan lawan berbekalkan dengan kualiti hebat dimiliki seperti ketajaman penyudah, kemahiran individu memukau serta kualiti hantaran berkelas dunia.

Sehubungan dengan itu tidak hairanlah mengapa beliau mampu memenangi anugerah ‘Pemain Futsal Terbaik Dunia’ sebanyak enam kali. Berkelebihan dua gelaran berbanding idolanya, Falcao dari Brazil.

Pemain kelahiran Valbom, Portugal tersebut juga pernah dinobatkan selaku penjaring terbanyak Piala Dunia Futsal 2016 dengan 12 gol manakala muncul sebagai Pemain Terbaik Kejohanan pada edisi 2021 yang mana beliau turut membantu negaranya muncul juara saingan paling berprestij di dunia itu buat pertama kali.

Pendekar United kini berada di tangga keempat saingan PFL dengan 19 mata hasil enam kemenangan, satu keputusan seri dan empat kekalahan selepas menamatkan aksi pusingan pertama.

Indonesia menjadi perhentian kedua buat karier Ricardinho di negara Asia kerana pada tahun 2010 hingga 2013 beliau pernah menyarung jersi kelab gergasi Jepun, Nagoya Oceans.

Saingan PFL dihentikan buat seketika kerana memberikan ruang kepada skuad futsal kebangsaan Indonesia yang beraksi dalam Kejuaraan Futsal AFF 2022 dan kemudiannya Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.

Pusingan kedua dijadualkan berlangsung pada 18 Jun ini dimana Kalimantan Barat bakal menjadi tuan rumah kepada 12 pasukan bertanding.

Sebagai makluman, saingan PFL dijalankan secara karnival dengan beberapa provinsi akan menjadi tuan rumah seperti Jawa Timur [Surabaya], Lampung [Kota Metro], Kalimatan Barat [Pontianak], Jawa Tengah [Semarang], Nusa Tenggara Tengah [Mataram], Sumatera Utara [Medan]. Dua bandar besar iaitu Jakarta dan Yogyakarta turut tidak terkecuali.

Baca artikel lain mengenai perkembangan futsal seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Futsal AFF 2022: Kebangkitan Dramatik Thailand Buat Indonesia ‘Merana’

Spekulasi Tersebar, Ricardinho Bakal Beraksi Di Indonesia?

Nafikan Hasrat Argentina, Portugal Muncul Juara Piala Dunia Futsal 2021

 

Sumber