Pasukan ranking nombor satu dunia, Belgium memulakan kempen Euro 2020 dengan nota kemenangan apabila berjaya menundukkan Rusia 3-0 pada aksi yang berlangsung di Gazprom Arena, Saint Petersburg sebentar tadi.
Tanpa kehadiran dua tonggak utama, Eden Hazard dan Kevin De Bruyne di kesebelasan utama, ia jelas bukan masalah besar buat skuad kendalian Roberto Martinez itu.
Belgium tidak perlu menunggu lama untuk membuka tirai jaringan selepas Romelu Lukaku menemui sentuhan jaringan seawal minit ke-10.
Berpunca daripada hantaran lintang dilakukan Dries Mertens terkena pemain pertahanan, Andrey Semenov, lalu memberikan peluang buat Lukaku yang tidak dikawal untuk menyudahkan peluang dengan tenang bagi menewaskan Anton Shunin di gawang Rusia.
Rusia kemudianya cuba untuk bangkit dengan melancarkan serangan berbahaya menerusi Mario Fernandes pada minit ke-14 tetapi tandukan pemain kelahiran Brazil tersebut selepas menerima umpanan daripada Aleksandr Golovin ditangkap kemas penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois.
Tidak mahu terus ditekan pasukan tuan rumah, Belgium giat melancarkan serangan dan mendapat peluang pada ke-22 menerusi Thorgan Hazard. Bagaimanapun, percubaan jarak dekat diledakkannya dinafikan dengan cemerlang oleh Shunin.
Kedudukan berubah pada minit ke-34 selepas Thomas Meunier mudah menolak masuk bola susulan hantaran lintang cuba dilakukan Thorgan Hazard gagal ditangkap kemas Shunin.
Lukaku sekali lagi menjadi masalah buat Shunin selepas peledak berbisa itu bijak menyempurnakan peluang hasil lorongan cantik dilakukan Meunier bagi menamatkan permainan dengan kemenangan 3-0 buat Belgium ketika aksi sebenar berbaki dua minit.
Dengan kemenangan tersebut, Belgium kini menghuni tangga teratas kumpulan B apabila memiliki kelebihan perbezaan jaringan berbanding Finland yang menang 1-0 ke atas Denmark di Copenhagen.