Manchester City dilaporkan sudah mula membuat perancangan awal sekiranya Pep Guardiola mengambil keputusan untuk meninggalkan kelab pada akhir musim ini.

Menurut laporan The Guardian, nama Enzo Maresca kini muncul sebagai calon paling kuat untuk mengambil alih kerusi panas di Etihad.

Guardiola yang telah membina era dominasi luar biasa bersama City masih mempunyai baki kontrak, namun pihak kelab tidak mahu mengambil risiko dan sudah meneliti pengganti yang sesuai.

Apa yang menarik, Maresca bukanlah nama asing dalam sistem City. Pengendali dari Itali itu pernah menjadi pembantu Guardiola, sekaligus memahami secara mendalam falsafah permainan yang diterapkan di kelab tersebut.

Ini menjadikan beliau pilihan “natural replacement” jika City mahu mengekalkan identiti bola sepak mereka.

Namun, situasi ini turut mengundang kontroversi. Maresca sebelum ini meninggalkan Chelsea secara mengejut walaupun masih mempunyai kontrak.

Tindakan itu menjadi tanda tanya, lebih-lebih lagi apabila muncul laporan bahawa beliau sudah berhubung dengan City sebelum meninggalkan Stamford Bridge.

Ironinya, Maresca sebenarnya sedang melalui musim yang cukup cemerlang bersama Chelsea — berjaya membawa pasukan layak ke Liga Juara-Juara Eropah selain memenangi Liga Konfederasi dan Piala Dunia Kelab.

Nama Maresca memang sudah lama dalam senarai Manchester City. Kerana dia dianggap calon sesuai dan pengganti langsung kepada Pep Guardiola.