Era gemilang Pep Guardiola di Manchester City dilaporkan semakin menghampiri penghujung apabila beberapa laporan mendakwa pengendali dari Sepanyol itu dijangka meninggalkan Etihad selepas 10 tahun bersama kelab tersebut.

Menurut laporan, Guardiola dijangka menamatkan tugasnya selepas aksi terakhir musim ini meskipun kontraknya masih berbaki sehingga 2027.

Guardiola sudah memaklumkan kepada pemain-pemainnya tentang perkara itu. Dan kelab bakal mengadakan upacara perpisahan simbolik dengan pengurus itu.

Namun buat masa ini tumpuan utama mereka adalah menamatkan 2 baki terakhir perlawanan liga mereka, dalam usaha mereka mencabar kejuaraan.

Sepanjang tempohnya di City, beliau berjaya membina salah satu dinasti terbesar bola sepak England dengan koleksi 20 trofi termasuk beberapa gelaran Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah.

Enzo Maresca calon pengganti

Dalam masa sama, nama bekas pengendali Chelsea, Enzo Maresca, kini disebut-sebut sebagai calon utama untuk menggantikan Guardiola.

Menariknya, Maresca bukan individu asing buat City kerana beliau pernah menjadi pembantu Guardiola dan juga jurulatih skuad pembangunan kelab itu sebelum ini.

Malah beberapa laporan mendakwa persetujuan awal antara Maresca dan Manchester City sudah dicapai secara verbal. Fabrizio Romano menganggap rundingan antara City dan Maresca sudah mencapai kesepakatan untuk kontrak 3 tahun.

Namun semuanya masih bergantung kepada keputusan muktamad Guardiola.

Jika benar Pep meninggalkan City, ia bukan sekadar pertukaran jurulatih, tetapi penutup kepada satu era yang mengubah landskap bola sepak England.