Dua pemain futsal Iran, Hossein Tayebi Bidgoli dan Moslem Oladghobad memberikan sumbangan cukup berkesan buat Mallorca Palma dalam membantu kelab tersebut menundukkan Cordoba World Heritage 6-2 pada aksi Liga Futsal Sepanyol 2022/23 yang berlangsung awal pagi tadi.

Baca Juga:

Kemenangan kedua berturut-turut dilakarkan itu melonjakkan Mallorca Palma di kedudukan kedua selepas mengumpul tujuh mata, ketinggalan lima mata dibelakang Barcelona yang masih mengekalkan rekod kemenangan bersih empat perlawanan.

Perlawanan di laman sendiri itu menyaksikan Hossein Tayebi berjaya meledakkan dua gol selepas beliau dengan tenang menyempurnakan peluang terhidang pada minit ke-10 dan 39.

Dua gol yang dihasilkan itu menjadi permulaan yang cukup baik buat Tayebi  selepas beliau terlepas tiga aksi awal ekoran kecederaan serta membawa cabaran skuad futsal Iran dalam Piala Asia Futsal 2022 di Kuwait.

Moslem Oladghobad terus temui sentuhan jaringan. Kredit Foto: palmafutsal.com

Manakala, Oladghobad yang mempamerkan kelincahan dan kemahiran individu berkelas dunia pada perlawanan ini mencetak nama selaku penjaring ketika memasuki minit ke-34.

Ia merupakan jaringan kedua buat ‘Pemain Paling Bernilai Piala Asia Futsal 2022’ itu selepas beliau membuka akaun jaringan dalam kempen liga pada aksi minggu kedua bertemu Inter Movistar.

Tiga lagi jaringan Mallorca Palma Futsal disumbangkan oleh Carlos Gomez Jerez pada minit kelapan, Mario Rivillos Plaza (minit ke-18) dan Francisco Tomaz Braga Nunes Cavalcante (minit ke-34).

Seorang lagi wakil daripada Asia turut beraksi pada perlawanan itu dimana Muhammad Osamanmusa diturunkan oleh Cordoba World Heritage tetapi bintang Thailand itu gagal untuk menjaringkan gol.