Pemain tengah Penang FC, Danial Ashraf Abdullah mengakui perlu berusaha lebih keras untuk terus mendapatkan kepercayaan pengendali, Thomas Trucha bagi memperagakan aksi dalam skuad utama pada perlawanan akan datang dalam saingan Liga Super 2021.
Dalam tiga perlawanan pertama terdahulu, bekas pemain Kelantan ini sekadar memanaskan bangku simpanan sahaja sebelum berjaya untuk mendapatkan minit permainan dalam aksi menentang UiTM FC pada 16 Mac lalu.
Namun, kemampuannya lebih terserlah pada perlawanan menentang Selangor FC pada 23 Mac lalu yang menyaksikan Danial yang kali pertama berada dalam kesebelasan utama berjaya mendapatkan gol pertamanya sekali gus membantu pasukan menang dengan keputusan 2-0 untuk membawa pulang tiga mata.
Apa yang pasti, pemain berusia 24 tahun itu mengharapkan peluangnya lebih cerah untuk mendapatkan minit permainan selepas ini dan tekad untuk terus memperbaiki diri agar dapat memberi impak yang positif kepada pasukan.
“Kita sebagai pemain kena ada sikap untuk bersaing secara sihat antara satu sama lain dalam pasukan, jadi kalau daripada segi persaingan terutama dengan pemain import, memang mencabar dan terpulang kepada jurulatih untuk memutuskan siapa yang patut ada dalam kesebelasan utama.
“Bagi saya, gol memang penting bukan sahaja untuk kepuasan diri sendiri tetapi juga buat pasukan, jadi apabila kita dah menjaringkan gol dan itu adalah gol kemenangan, memang lagi membuak-buak untuk buat benda sama lepas ni.
“Kalau dari segi keserasian, jujurnya belum cukup lagi sebab saya baru beraksi dalam dua perlawanan, jadi kalau lepas ni jurulatih bagi peluang lagi kepada saya, saya percaya tahap kesefahaman akan lebih tinggi berbanding sebelum ini”, jelasnya.
Penang FC ketika ini dilihat semakin konsisten untuk berada di tangga keempat liga selepas lima perlawanan dan hanya mengalami satu kekalahan sahaja ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Bakal berdepan Perak FC pada 3 April, Danial tidak menganggap ia satu kelebihan meskipun skuad kendalian Chong Yee Fatt itu sedang bergelut mencari kemenangan selepas berdepan dua kekalahan dan satu seri dalam tiga perlawanan terdahulu.
“Kita baru sahaja tewas satu kali dan saya yakin selepas ini semua pemain akan melawan habis-habisan untuk bertemu Perak agar kita terus mampu mengutip mata.
“Rehat pun kita sudah dapat dengan cukup sebelum ini, jadi saya rasa sekarang pemain tiada masalah untuk terus bagi kerjasama dengan baik dalam latihan menjelang aksi nanti.
“Nak menang itu memang sukar sebab kita tak pandang rendah terhadap mereka dan Perak pun bukan pasukan yang biasa-biasa yang senang nak bagi kita mata, jadi kalau dapat satu mata memang dah bersyukur, tetapi semestinya kita ingin menang lah”, tambah Danial Ashraf lagi.
Saingan Liga Malaysia 2021 akan kembali bersambung pada 2 April ini menyaksikan tiga perlawanan Liga Super akan berlangsung pada Jumaat ini manakala bagi tiga lagi perlawanan akan diadakan pada Sabtu.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.
Zamsaham: Bekas Pemain Keluarkan Kenyataan Di Media Sosial Terlebih Dahulu
FAM Akan Bincang Insiden Menolak Pengadil Natxo Insa Dalam Masa Terdekat