‘Perang mulut’ melibatkan Norizam Tukiman atau lebih mesra dengan panggilan Zamsaham dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM) masih belum reda apabila pemilik Kelantan FC itu tampil mempertahankan tindakannya.

Ia sekali gus menjawab tiga perkara penting dalam kenyataan balas dikeluarkan persatuan yang menjaga kebajikan pemain Liga Malaysia itu pada 29 Mac lalu.

Dalam kenyataan dikeluarkan, pihak PFAM melihat tindakan Kelantan FC dalam menguar-uarkan isu tersebut dengan mendedahkan Notis Tuntutan di media ketika ia masih di peringkat surat menyurat antara kedua-dua pihak adalah satu tindakan yang kurang profesional.

Selain itu, PFAM juga turut menyentuh tentang pihak TRW yang enggan membayar gaji pemain secara penuh bagi November 2020 dan tidak pun memberikan justifikasi untuk pasukan dikecualikan daripada tanggungjawab mereka mengikut kontrak antara pasukan dan pemain serta berkenaan dengan isu pemain ‘tidak bersyukur’ seperti diperkatakan oleh Zamsaham.

Sehubungan dengan perkara tersebut, pemilik kelab kelahiran Johor Bahru itu meluahkan kekecewaannya kerana dilabel sebagai tidak profesional, memetik sumber laporan daripada My Metro.

Selain itu, beliau juga turut mengambil contoh kelab gergasi La Liga, Barcelona yang turut mengambil pendekatan dalam memotong gaji pemain susulan bebenan pandemik COVID-19 melanda dunia.

“Saya dah selamatkan Kelantan FC dan keluarkan sampai RM6.8 juta untuk selesaikan semua hutang pemain, patutkah Kelantan FC dikatakan tak profesional?”

“Bekas pemain yang keluarkan kenyataan terlebih dahulu di media sosial berkenaan isu ini, bukan Kelantan FC,” ujar Zamsaham bercakap kepada wartawan My Metro.

“Kalau kata Kelantan FC tak profesional, adakah kelab Barcelona juga tak profesional apabila (Lionel) Messi dipotong gaji sehingga 70 peratus bagi membantu kelab yang tersepit ekoran pandemik Covid-19 ini.”

“Apalah sangat nak bandingkan Barcelona dengan Kelantan, tetapi sekurang-kurangnya fahamlah mengapa pemotongan itu perlu di kala kita semua berdepan masalah Covid-19.”

“Saya bukan jenis suka mengungkit-ungkit dan jauh sekali untuk tidak bersikap profesional. Kalau saya ini tak profesional, saya takkan menghabiskan duit untuk bayar semua tunggakan gaji pemain. Hanya lima pemain ini sahaja kerana mereka pentingkan diri sendiri.”

“Macam saya katakan, saya tak ada masalah langsung nak bayar gaji pun kerana kami cukup profesional bila membabitkan hal perundangan tapi akhirnya pemain itu yang tak profesional dan mementingkan diri sendiri.”

“Mereka tak faham, sepatutnya apabila 90 peratus setuju pemotongan yang 10 peratus patut setuju,” tambah Zamsaham lagi.

Seperti diketahui, lima pemain yang dimaksudkan ialah  Nazrin Nawi, Mohd Farisham Ismail, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Masaki Watanabe.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Kenny Pallraj Mahu Penyokong Perak Beri Peluang Buat Yee Fatt

Dollah Belum Puas Hati Aksi Sri Pahang, Banyak Aspek Perlu Diperbaiki

AFC: Terpulang Kepada Jawatankuasa Tatatertib Tentukan Jenis Hukuman

 

Sumber