Pemain tengah Perak FC, Kenny Pallraj Davaragi mengharapkan peminat-peminat agar dapat memberikan lebih banyak masa kepada pengendali, Chong Yee Fatt memikul cabaran pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia.
Menurut Kenny, beliau yakin dengan kredibiliti Yee Fatt yang disifatkan sebagai seorang jurulatih berpengalaman dan mampu membawa Perak FC untuk bersaing dengan pasukan elit.
Dia berpendapat Yee Fatt sebenarnya berdepan kesuntukan masa dalam membentuk pasukan di saat akhir ekoran pelantikannya dalam tempoh dua minggu sebelum liga bermula.
Walaupun bermula sederhana pada beberapa perlawanan awal, kemampuan mereka yang berjaya seri 2-2 dengan Johor DT pada aksi terakhir sebelum Liga Malaysia berehat seketika membuktikan Yee Fatt ada kemampuan membawa cabaran Perak.
“Saya faham mengenai harapan tinggi yang disandarkan peminat namun saya ingin beritahu, Yee Fatt adalah seorang jurulatih yang bagus cuma ada beberapa faktor yang tidak membantunya.
“Perubahan pengurusan selain dua minggu sahaja bersama Perak menjadikan dia sukar untuk cuba terapkan gaya permainannya bersama pasukan dan pemain juga sedang cuba menyesuaikan dengan caranya.
“Memang persiapan pasukan ini dari awal tidak berapa bagus tetapi komitmen pemain berpengalaman serta keazaman pemain muda, kami dapat menunjukkan satu kematangan yang bagus dan harap mampu kekalkan momentum pada perlawanan mendatang, ” katanya.
Yee Fatt yang menggantikan Mehmet Durakovic pada 22 Februari lalu, dikritik sebahagian besar peminat Perak apabila bermula hambar termasuk dua kekalahan di tangan Terengganu FC (0-2) dan Kuala Lumpur City FC (0-3).
Sebagai rekod, Yee Fatt pernah menjadi penolong jurulatih Perak pada 2011-2013 dan 2017 yang ketika itu dikendalikan mendiang Karl Heinz Weigang selain pernah membimbing DRB-Hicom (2015-2016) dan selain Kuala Lumpur pada tahun 2019.
Dalam pada itu, Kenny mengakui pertembungan dengan pasukan jiran, Penang FC pada Sabtu di Stadium Bandaraya pasti sengit dan mendebarkan kerana lawan sedang dibuai keyakinan selepas mengejutkan Selangor FC pada aksi terakhir.
“Saya tidak nafikan Penang sekarang sedang lalui satu prestasi yang bagus dan melihat kepada cara permainan mereka, jelas ada satu keserasian yang baik sesama pemain.
“Bagaimanapun, saya tidak risau dengan pihak lawan kerana apa yang saya lebih utamakan adalah mengenai pasukan sendiri dan jika kami semua dapat bersatu, tiada apa yang mustahil.
“Walaupun pasukan kami bukanlah besar tetapi pemain-pemain muda telah menunjukkan komitmen yang tinggi seperti Izuddin Roslan dan Adib Raop yang mula berikan impak yang bagus buat Perak, ” ujar Kenny Pallraj lagi.