Penampilan sulung pemain tengah FELDA United, Danial Amier Norhisham tidak berjalan dengan lancar apabila beliau gagal mempamerkan persembahan yang baik apabila diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya menentang Jordan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bercakap kepada bernama, beliau mengakui gugup dan terlalu memikirkan untuk tidak melakukan sebarang kesilapan ketika digandingkan bersama Azam Azih dan Brendan Gan di bahagian tengah.

“Aksi bersama skuad kebangsaan di peringkat senior ini tahapnya sangat berbeza, dan saya sendiri rasa tidak berpuas hati dengan persembahan malam ini. Saya akui saya sangat gementar di awal 10-15 minit pertama.

“Tekanan amat tinggi dan tanggungjawab sangat berat, jadi saya terlampau sangat fikir untuk membuktikan kemampuan selain elak daripada melakukan kesilapan dan mungkin kerana itu membuat saya gementar di atas padang,” katanya.

69380895_2353098271453590_7284874904703336448_o
FOTO: FAM

Bagaimanapun, beliau tetap diberi kepercayaan oleh pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe apabila disenaraikan dalam 24 pemain yang dibawa ke Jakarta untuk menghadapi Indonesia dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 5 September ini.

Justeru itu, beliau tekad bekerja keras untuk membuktikan kemampuannya, agar dapat terus kekal dalam skuad kebangsaan.

“Semuanya saya serahkan dekat jurulatih, sebab dia yang buat keputusan. Kalau tidak terpilih, saya akan bekerja lebih kuat…kita tidak tahu apa akan jadi pada waktu akan datang, mungkin saya boleh jadi seorang pemain yang lebih baik,” tambah beliau.

Tiga pemain dari senarai awal 27 pemain menyertai latihan pusat bermula 25 Ogos lalu yang telah digugurkan iaitu Ahmad Hazwan Bakri (JDT), Mohd Faiz Mohd Nasir (Selangor) dan Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew (PKNS FC).

Baca lebih lanjut untuk mengetahui perkembangan terkini perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia.

Hazwan, Faiz Nasir Dan Jafri Firdaus Chew Tidak Sertai Skuad Harimau Malaya Ke Jakarta

Harga Sebenar Tiket Penyokong Malaysia Di Stadium Utama Gelora Bung Karno Adalah RM116.75 Sekeping!

Andik Vermansah Mahu Balas Dendam Kekalahan Skuad U18 Indonesia

Sumber