Ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe hari ini telah mengumumkan senarai 24 pemain yang dibawa ke Jakarta, Indonesia bagi menghadapi perlawanan sulung Kumpulan G, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu skuad Garuda di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 September 2019.

Tiga pemain dari senarai awal 27 pemain menyertai latihan pusat bermula 25 Ogos lalu yang telah digugurkan iaitu Ahmad Hazwan Bakri (JDT), Mohd Faiz Mohd Nasir (Selangor) dan Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew (PKNS FC).

Ahmad Hazwan dimasukkan pada minit ke-61 pada Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Jordan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi manakala Mohd Faiz dan Muhammad Jafri tidak diturunkan. Malaysia tewas tipis 1-0.

SENARAI-24-PEMAIN-HARIMAU-MALAYA-01

Mengulas mengenai ketiadaan Hazwan Bakri dalam senarai akhir, Cheng Hoe menyifatkan kekurangan minit permainan bersama kelab menyebabkan pemain itu gagal mengekalkan prestasi di peringkat antarabangsa.

“Hazwan kita tahu dia seorang penyerang yang berkaliber tetapi kurang beraksi dan sebab itulah dia tidak dapat mengekalkan prestasi dan tempo perlawanan antarabangsa. Kita akan beri dia peluang pada masa akan datang dan memantau prestasinya dalam saingan Piala Malaysia nanti.

“Faiz pula disebabkan dia mengalami demam dan badannya agak lemah sedikit. Jadi kita terpaksa tinggalkan dia untuk ke Jakarta nanti.

“Sementara Jafri, kita panggil dia untuk memberi peluang kepadanya bersaing di bahagian serangan. Tapi saya rasa dia perlu bekerja lebih keras lagi bagi mendapatkan tempat dalam pasukan kebangsaan,” jelasnya.

Bagaimanapun, tiga pemain yang digugurkan ini berpeluang menyertai semula skuad Harimau Malaya jika terdapat mana-mana dalam senarai tersebut mengalami kecederaan selepas pulang dari Jakarta.

“Ketiga-tiga pemain ini akan terus dipantau kerana kemungkinan besar selepas pulang dari Jakarta nanti, mereka akan dipanggil semula untuk menggantikan mana-mana pemain, jika terdapat kecederaan bagi menghadapi perlawanan kedua bertemu UAE di Bukit Jalil pada 10 September nanti.

“Saya membuat keputusan untuk membawa 24 pemain ke Jakarta kerana kita tahu Mohamadou Sumareh masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan. Sebab itulah kita bawa lebih seorang pemain sebagai langkah persedian jika Sumareh tidak seratus peratus bersedia untuk bertemu Indonesia.

“Cuma pada hari perlawanan nanti, hanya 23 pemain akan disenaraikan dan seorang pemain terpaksa diketepikan,” tambahnya.

Tahukah anda, jurulatih Jordan kagum dengan sekumpulan penyokong Malaysia. Klik pautan di bawah untuk mengetahui lebih lanjut.

Jurulatih Jordan Terpesona Dan Kagum, Hamburkan Pujian Kepada Ultras Malaya