Malaysian Football League (MFL) semalam mengumumkan syarikat penjagaan mulut terkemuka antarabangsa Colgate® menjadi penaja baharu Liga Malaysia 2023 selepas menandatangani kontrak perjanjian selama setahun.

Penglibatan Colgate® pasti akan menambah senyuman dalam saingan Liga Malaysia musim ini yang akan membuka tirai dengan Perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 Februari jam 9.00 malam.

Menurut Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, beliau optimis dengan kehadiran Colgate®, sebuah jenama terkenal yang sudah bertapak selama 64 tahun di Malaysia akan memberikan satu indikasi yang cukup baik mengenai penerimaan syarikat swasta terhadap Liga Malaysia.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan kepercayaan Colgate® terhadap MFL untuk menjalin kerjasama selaku penaja baharu musim ini.

“Ini satu permulaan yang baik di mana kita sedia maklum bahawa Colgate® satu jenama yang cukup sinonim buat keluarga Malaysia dan kini bersama-sama MFL untuk menyumbang sesuatu buat bola sepak tanah air.

“Ini kali pertama Colgate® terlibat dalam sukan bola sepak khususnya di negara ini dan ia jelas satu mesej cukup positif apabila sebuah syarikat global penjagaan kesihatan bersedia melangkah seiring bersama MFL dalam menaja Liga Malaysia yang kini diiktiraf antara liga terbaik dirantau ini.

“Perkembangan ini diharap dapat membuka mata lebih banyak syarikat-syarikat luar untuk menaja Liga Malaysia di mana saya percaya Liga Malaysia memiliki potensi yang cukup besar diterokai dari sudut komersial,” katanya.

Sementara itu bagi Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, beliau percaya kehadiran Colgate® selaku rakan penaja rasmi pasti akan menyerikan lagi saingan Liga Malaysia yang melibatkan enam kejohanan musim ini iaitu Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, Piala MFL dan MFL Challenge Cup.

“Kehadiran penaja baharu Colgate® mencetuskan keyakinan buat MFL yang mengambil langkah besar untuk melakukan penstrukturan semula Liga Malaysia musim ini dalam usaha bukan sahaja menjadikan saingan lebih kompetitif malah memiliki nilai komersial lebih tinggi.

“Bagi MFL, kami amat mengalu-alukan jenama berasaskan kesihatan untuk bersama MFL kerana kita tahu sukan dan kesihatan mulut adalah saling berkait rapat. Oleh itu, bagi MFL, kita amat mengalu-alukan kolaborasi dengan jenama penjagaan diri. Diharap kerjasama ini bukan sahaja akan mengukuhkan jenama Colgate® malah dapat menyampaikan mesej mengenai penjagaan kesihatan mulut buat rakyat Malaysia menerusi pelbagai hebahan dan aktiviti yang diadakan bersama MFL,” katanya.

Sementara itu, Edith Marquez-Reyes, Pengarah Pemasaran Colgate-Palmolive Malaysia percaya bahawa kolaborasi ini akan mencetuskan satu lagi pengalaman yang bermakna untuk jenama Colgate® di Malaysia.

“Jenama kami sentiasa berteraskan kepercayaan bahawa senyuman itu kekuatan, dan Liga Malaysia adalah inspirasi kepada semua warga Malaysia yang kita boleh, Malaysia boleh. Sementara pemain kita berusaha keras mengharungi Liga Malaysia dalam memburu kejayaan, Colgate® pula sentiasa berusaha untuk memastikan kesihatan gigi dan mulut semua dijaga dengan baik.

“Kami berharap bahawa menerusi kolaborasi ini, kita akan lebih lagi saringkan senyuman dan optimism kepada semua warga Malaysia.”