Dugaan yang dihadapi sehingga membuatkan kontraknya di Inter Milan terpaksa dibatalkan tidak langsung membuatkan Christian Eriksen berputus asa untuk terus bergelar pemain bola sepak profesional.

Malah, pemain berusia 29 tahun itu bertekad mahu merebut tempat dalam skuad kebangsaan Denmark bagi menghadapi saingan Piala Dunia 2022 di Qatar pada hujung tahun ini.

Keyakinan itu disuarakan Eriksen selepas beliau merasakan dirinya masih berada di tahap terbaik untuk memberikan sumbangan berkesan walaupun Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) tidak membenarkannya beraksi di negara tersebut sehingga menyebabkan beliau terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat Inter Milan.

Seperti dilaporkan sebelum ini, FIGC hanya akan membenarkan Eriksen beraksi sekiranya beliau tidak lagi bergantung kepada penggunaan alat bantuan, Implantable Cardioverter Defibrillator (ICD).

“Matlamat saya adalah untuk bermain di Piala Dunia di Qatar. Saya mahu bermain. Hanya itu bermain di fikiran saya setiap masa,” ujar Eriksen menurut laporan dikeluarkan Sky Sports.

“Ia merupakan matlamat, satu impian sama ada saya akan dipilih adalah perkara lain. Tetapi impian saya adalah untuk kembali beraksi.”

“Saya pasti saya boleh kembali beraksi kerana saya langsung tidak merasakan sebarang perbezaan. Secara fizikalnya, saya berada dalam keadaan [fizikal] yang sangat baik.”

“Ia adalah matlamat saya dan ia masih ada masa [sebelum Piala Dunia], jadi saya akan bermain bola sepak dan membuktikan saya boleh kembali ke tahap yang sama.”

“Matlamat saya untuk kembali menyertai skuad kebangsaan dan bermain di Parken lagi dan membuktikan perkara tersebut [serangan jantung] itu hanya berlaku sekali dan tidak akan berulang lagi.”

“Saya mahu membuktikan saya boleh melupakan perkara tersebut dan kembali bermain bersama skuad kebangsaan. Sekali lagi, ia terpulang kepada pengurus untuk membuat penilaian.”

“Tetapi [masalah] jantung saya bukanlah satu halangan,” tambah Cristian Eriksen lagi.

Baca artikel lain mengenai Eriksen:

Rebah Secara Tiba-Tiba, Doa Semua Buat Christian Eriksen

Peluang Christian Eriksen Kembali Beraksi Di Itali Tampak Sukar

Masih Tidak Dibenarkan Beraksi Di Itali, Inter Sedia Lepaskan Eriksen

Sumber