Denmark meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir Euro 2020 selepas mudah menundukkan Wales 4-0 pada aksi yang berlangsung di Johan Cruijff Arena, Amsterdam sebentar tadi.
Kemaraan itu menyaksikan Denmark bakal menanti pemenang di antara Belanda dan Republik Czech yang akan beraksi di Budapest, awal pagi esok.
Wales yang dibimbing Rob Page pada mulanya mempamerkan aksi baik selepas beberapa kali mengkucar-kacirkan jentera pertahanan Denmark.
Namun, ia masih belum mampu untuk menembusi gawang Denmark yang dikawal Kasper Schmeichel dan kemudiannya skuad bimbingan Kasper Hjulmand itu pula lebih mengawal permainan.
Jaringan pembukaan Denmark terhasil pada minit ke-27 apabila Kasper Dolberg yang menerima hantaran daripada Mikkel Damsgaard meledakkan rembatan dari luar kawasan penalti bagi membolosi penjaga gol, Danny Ward.
Dolberg sekali lagi membuktikan kemampuannya selepas beliau menjaringkan gol kedua susulan kesilapan Neco Williams yang gagal mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya susulan hantaran lintang dilakukan Martin Braithwaite.
Dolberg yang mendapat peluang tersebut tidak berdepan masalah untuk meledakkan rembatan bagi menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-48.
Tidak cukup dengan dua jaringan tersebut, Denmark mematikan api perjuangan pasukan lawan apabila menambah jaringan ketiga menerusi Joakim Maehle yang berjaya melepasi kawalan pertahanan Wales lalu melepaskan rembatan untuk menewaskan Ward ketika perlawanan memasuki minit ke-88.
Braithwaite menutup aksi meyakinkan yang ditampilkan dengan gol keempat pada masa kecederaan separuh masa kedua bagi mengesahkan kemenangan mudah buat skuad ‘Danish Dynamite’ itu.