Pemain tengah kreatif, Christian Eriksen nyata masih berada dalam kelas tersendiri meskipun sudah lama tidak beraksi sejak peristiwa hitam melanda dirinya selepas beliau tiba-tiba rebah pada aksi sulung Kejuaraan Euro 2020 tahun lalu.
Insiden di Stadium Parken, Copenhagen itu jelas sudah pun dilupakan sepenuhnya dan Eriksen tampil dengan cukup meyakinkan selepas beliau mempamerkan aksi cemerlang dalam membantu kelab baharunya, Brentford mengikat juara Liga Scotland, Rangers 2-2 pada perlawanan persahabatan yang berlangsung semalam.
Perlawanan yang berlangsung secara tertutup tanpa kehadiran penyokong itu menyaksikan Eriksen berjaya menyumbangkan bantuan jaringan kepada dua gol dihasilkan oleh Mathias Zanka Jorgensen dan Tristan Camara.
Lebih menarik untuk diperkatakan, pemain yang dibawa masuk dengan kontrak selama enam bulan dengan pilihan lanjutan itu beraksi dengan cukup baik sepanjang 80 minit diturunkan pengendali pasukan, Thomas Frank.
Malah, pemain yang berusia 30 tahun itu mendapat beberapa peluang untuk meletakkan namanya selaku penjaring pada perlawanan tersebut.
Perkembangan terkini yang cukup meyakinkan selepas Eriksen turut berjaya menyumbangkan bantuan jaringan pada satu lagi aksi persahabatan minggu lalu berdepan Southend.
Masih optimis mampu menyarung jersi Denmark pada kempen Piala Dunia 2022 di Qatar, Eriksen mengambil keputusan untuk menyertai Brentford selepas beliau dilepaskan oleh Inter Milan susulan arahan Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) yang tidak membenarkan pemain dengan bantuan Implantable Cardioverter Defibrillator (ICD) untuk beraksi di negara tersebut.
Perpindahan secara percuma itu juga sekali gus menjadikan Christian Eriksen sebagai pemain pertama dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dibantu oleh penggunaan ICD.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia:
Jadual Liga Malaysia 2022 Sudah Dikemaskini, Beberapa Perlawanan Akan Bermula Pukul 8.15 Malam