Pemain tengah AS Monaco, Cesc Fabregas beranggapan kehadiran bekas rakan sepasukannya yang merupakan legenda bola sepak dunia, Lionel Messi memperkuatkan Paris Saint-Germain (PSG) masih belum menjamin kejuaraan Ligue 1 bakal menjadi milik kelab gergasi Perancis tersebut.
Ketika sebahagian besar peminat bola sepak di seluruh dunia menganggap kancah Ligue 1 akan terus didominasi PSG tetapi bagi Fabregas yang menyertai AS Monaco pada musim 2018/19, beliau nyata memiliki pandangan berbeza.
“Cabaran di Ligue 1 sebenarnya tidak semudah yang disangkakan oleh orang ramai,” ujar Fabregas menurut laporan dikeluarkan Goal.
“Apabila PSG tidak memenangi liga, semua orang melihat ianya sebagai suatu kehancuran kepada mereka telah berbelanja begitu banyak wang.”
“Semua orang juga melihat [Ligue 1] sebagai ‘liga satu pasukan [merujuk kepada PSG] tetapi dalam lima musim terakhir, mereka hanya memenangi tiga kejuaraan kerana Lille dan Monaco juga berupaya memenangi kejuaraan dan turut menghentikan rentetan kejuaraan mereka.”
“Ini merupakan liga yang kompetitif. Ia tidak mudah seperti yang orang sangkakan. Satu liga yang sangat aggresif, sangat intensif, sangat pantas dengan pemain-pemain kuat yang bertahan dengan baik,” tambah Cesc Fabregas lagi.
PSG telah memenangi sembilan kejuaraan Ligue 1 sebaik sahaja mendapat suntikan dana daripada Qatar Sports Investments yang diketuai oleh Nassir Al-Khelaifi pada tahun 2011.
Kehadiran Messi yang bakal bergandingan bersama Neymar dan Kylian Mbappe sambil dibantu Angel Di Maria serta beberapa pemain berkelas dunia lain pastinya bakal menjadikan kelab tersebut sebagai antara pilihan utama untuk menjuarai Liga Juara-Juara Eropah musim ini.
Teruskan membaca artikel-artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.
Mahu Fokus Kelayakan Piala Dunia, Saingan Liga Vietnam Disambung Semula Pada Tahun Hadapan